Liga Super Malaysia Berita

PJ City tolak PKNP jatuh ke Liga Perdana

Petaling Jaya City (PJ City) berjaya mengenepikan cabaran PKNP FC pada aksi Liga Super semalam dengan kemenangan 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kemenangan ini memberi tiga mata penuh buat PJ City pada aksi akhir Liga Super dengan anak buah K. Devan berjaya menamatkan saingan liga di tangga ke lapan dengan 26 mata.

Sepanjang 22 perlawanan Liga Super, skuad K. Devan telah berjaya merekodkan lapan kemenangan, dua keputusan seri dan 12 kekalahan.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh pemain import Washinton Brandoa pada minit ke 75 perlawanan memberi parah kepada pasukan PKNP yang hadir dengan misi mahu mengutip tiga mata penuh.

Kegagalan mereka untuk menumpaskan PJ City semalam bermakna pasukan yang bertapak di Manjong, Perak ini bakal bermain di Liga Perdana pada musim hadapan.

Bagi pendatang baharu Liga Super, ini adalah pencapaian terbaik mereka apabila berjaya menamatkan musim ini di kelompok pertengahan liga super.

Bertambah manis lagi apabila anak buah K. Devan telah berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim di Stadium Larkin minggu lalu sekaligus menamatkan rekod kemenangan JDT di laman sendiri.