Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Hafizul salahkan diri sendiri

Gol cantik Herold Goulon berjaya mencuri tumpuan pada malam kekalahan Perak ke atas Pahang dalam saingan separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur.

Sepakan lambungan dari separuh padang oleh pemain kelahiran Perancis itu berjaya menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam pada akhir-akhir minit perlawanan.

Gol ketiga tersebut seolah-olah memadam peluang Perak untuk bangkit daripada kekalahan, tetapi di dalam bola sepak semua perkara ajaib boleh terjadi menjelang aksi timbal balik pada 29 Jun nanti.

Bagi Muhammad Hafizul, beliau meletakkan kekalahan pada malam tersebut adalah kesilapan beliau sendiri kerana gagal beraksi di tahap sebenar.

“Pada perlawanan semalam, bukan saja jaringan ‘ajaib’ itu malah kekalahan pasukan Perak kepada Pahang adalah salah saya sendiri.

“Saya bertanggungjawab terhadap kekalahan itu,” katanya kepada BH Sukan.

Dalam masa yang sama, beliau juga tidak pasti sama ada akan diturunkan pada aksi timbal balik nanti di Stadium Perak.