Luar Negara Berita

Higuain dan Sarri bakal bergabung buat kali ketiga

Musim panas 2015 telah menyaksikan Maurizio Sarri dilantik selaku ketua jurulatih Napoli. Manakala Gonzalo Higuain pula sedang menikmati musim terhebat apabila berjaya menjaringkan 35 gol dalam dua musim pertama di Itali, setelah tiba dari Real Madrid.

Pada musim pertama mereka bersama di Stadio San Paolo, penyerang Argentina telah memecahkan rekod Serie A apabila berjaya menyamai rekod cetakan gol sepanjang masa Serie A dengan 36 gol. Rekod ini dahulunya dipegang oleh Gunnar Nordahl sejak 1950-an.

Musim cemerlang Higuain telah menyaksikan Juventus sanggup membayar klausa pelepasan 90 juta euro kepada Napoli bagi mendapatkan Higuain, tetapi ada satu perkara yang kurang jelas pada ketika ini, adakah Higuain dan Sarri bakal bergabung kembali?

Sejak kemasukan Cristiano Ronaldo ke dalam pasukan Juventus ianya telah mengubah segalanya buat Higuain. Beliau telah dipinjamkan ke AC Milan sebagai sebahagian daripada perjanjian yang menyaksikan Leonardo Bonucci kembali menyertai Juventus dan beliau dipaksa berjuang untuk pasukan Rossoneri dan pada bulan Januari, Sarri memujuk pengurusan Chelsea untuk mengambil beliau selaku pemain pinjaman. Mereka bergabung sekali lagi di Chelsea.

Di Chelsea, kemasukan Higuain dijangka dapat menyelesaikan masalah penyerang yang dihadapi oleh The Blues. Tetapi mereka gagal meniru kejayaan sama sewaktu di Napoli dan kedua-dua mereka terus dikritik oleh penyokong Chelsea.

Sehinggalah Sarri mengambil keputusan untuk meninggalkan Chelsea dan menyertai Juventus. Manakala Higuain dengan lantang menjelaskan bahawa beliau mahu kekal di Juventus.

Mereka berdua adalah watak penting yang memberikan Chelsea tempat ketiga di Liga Perdana serta bertanggungjawab mengembalikan saingan Liga Juara-Juara untuk musim hadapan. Tambahan daripada itu, kemenangan Liga Europa telah menyaksikan Chelsea menamatkan musim dengan cemerlang dan menutup mulut penyokong yang mempersoalkan kemampuan jurulatih kelahiran Itali tersebut.

Higuain dan Sarri kini bakal bersatu kembali buat kali ketiga di Juventus. Sarri semalam dilantik secara rasmi sebagai jurulatih baharu Bianconeri sementara pemain Argentina bakal kembali ke kelab terbabit selepas tempoh pinjamannya tamat.

Kedua-dua mereka dilihat bakal kembali memimpin Juventus ke kejuaraan Liga Juara-Juara.