Malaysia Berita

Timor Leste sedia tumbangkan Harimau Malaya

Malaysia mempunyai rekod yang baik sepanjang beraksi menentang Timor Leste, namun itu bukanlah bermakna mereka pasukan yang mudah ditewaskan.

Bagi kaptennya, Joao Pedro da Silva Freitas percaya pasukannya hadir dengan sikap yang berbeza apabila mendapat banyak pendedahan susulan beraksi dalam liga domestik.

“Dengan adanya saingan liga domestik, piawaian bola sepak di sini dapat ditingkatkan dan sepanjang dua tahun ini, banyak perkembangan positif yang ditunjukkan pemain di sini.

“Walaupun kecewa kerana terpaksa beraksi bagi aksi kedua di laman lawan kerana peluang kami untuk menang mungkin lebih cerah di sana.

“Namun kami akan tetap memberikan yang terbaik untuk kedua dua aksi ini,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.

Bagi pengendali Timor Leste, Norio Tsukitate beliau telah melakukan analisis terperinci kepada corak permainan skuad negara.

“Berdasarkan aksi menentang Nepal, saya melihat Malaysia adalah pasukan sangat berorganisasi dan mengawal sebahagian besar penguasaan bola.

“Malah, mereka memiliki pemain yang hebat di peringkat Asia Tenggara. Fokus utama adalah untuk mengharungi aksi pertama terlebih dahulu sebelum saya memikirkan aksi yang kedua,” katanya.