Kemenangan ke atas Nepal pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam semalam nyata tidak disambut dengan baik oleh pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe.
Bagi beliau, keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil tidak berada pada keadaan baik dan nyata menjejaskan persembahan anak buahnya.
Apa yang menjadi kerisauan Tan Cheng Hoe adalah padang yang sama bakal digunakan bagi aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada Jumaat ini dan 11 Jun nanti.
“Saya tidak gembira dengan keadaan padang dan ia tidak melancarkan cara permainan kami. Permukaan padang memperlahankan hantaran bola dan pergerakan kami,” kata Cheng Hoe selepas aksi berdepan Nepal.
“Sukar untuk menjaringkan gol, sudah pasti ia bukan alasan tetapi saya sangat berharap padang dapat diperbaiki untuk masa akan datang kerana untuk menampilkan permainan terbaik, kami perlukan padang yang berkualiti.” katanya
Pada aksi kelmarin, gol hasil sepakan penalti Safawi Rasid dan tandukan Shahrul Saad yang berpunca daripada sepakan percuma sudah cukup untuk Harimau Malaya menundukkan Nepal, sekali gus menjadi tonik terbaik sebelum bertemu Timor Leste.