Berita AFC Champions League

JDT gah atasi kelab dari Australia dan Thailand

Biarpun tewas ke atas wakil dari Korea Selatan, Gyeongnam FC pada aksi terakhir Kumpulan E dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL), ia tetap menjadi satu rekod yang sepatutnya dibanggakan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bermain diperingkat Liga Juara-Juara Asia bukanlah mudah buat JDT kerana perlu berdepan dengan beberapa pasukan yang berpengalaman serta mempunyai kualiti pemain yang lebih tinggi.

Tetapi melihat daripada aksi pertama pasukan JDT, pasukan daripada selatan tanah air ini beraksi dengan baik serta tidak kekok walaupun dikira sebagai pendatang baharu dalam aksi Liga Juara-Juara ini.

Apa yang lebih membanggakan adalah aksi JDT menewaskan juara bertahan, Kashima Antlers pada aksi minggu lalu dengan jaringan tunggal daripada Syafiq Ahmad sudah cukup untuk melengkapkan malam penuh bergaya buat JDT.

Kemenangan itu jugalah yang menghidupkan peluang JDT untuk mara ke pusingan 16 tetapi dinafikan minggu ini setelah Kashima bangkit menewaskan Shandong Luneng FC untuk mara ke pusingan seterusnya.

Tambahan daripada itu, JDT berjaya mengumpul 4 mata hasil daripada satu keputusan seri dan satu kemenangan dalam enam perlawanan peringkat kumpulan.

Rekod ini juga membuktikan bahawa JDT berjaya atas dua kelab dari Australia, Sydney FC dan Melbourne Victory serta juara Liga Thailand, Buriram United dari segi kutipan mata, jumlah jaringan dan bolos.