Piala FA Malaysia Berita

Shopee Piala FA : Felda jumpa Kuala Lumpur tanpa Jasazrin

Felda United FC bakal kehilangan khidmat pemain tengah mereka, Jasazrin Jamaluddin menjelang perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini.

Beliau yang berasal daripada Batu Pahat terpaksa diketepikan sekurang-kurangnya tiga minggu akibat daripada kecederaan hamstring yang dialami oleh beliau.

“Ini berita yang sangat membuatkan saya rasa terkilan memandangkan perlawanan menentang Kuala Lumpur amat penting bagi pasukan kami.

“Selain aksi menentang skuad ibu kota, saya juga bakal terlepas tiga lagi perlawanan lain membabitkan Liga Super, antaranya perlawanan bertemu Melaka United, Terengganu FC dan Pahang,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa The Fighters mempunyai bekalan yang selesa dalam merebut slot separuh akhir Piala FA serta bermain di laman sendiri bakal memberi kelebihan buat pasukan.

“Walaupun kita kehilangan tiga pemain berpengalaman untuk aksi hujung minggu ini, saya tidak nampak ketiadaan Hadin Azman, Christie (Jayaseelan) dan Daniel Amier Norhisham akan memberi kesan terhadap prestasi secara keseluruhan pasukan.

“Kita ada kelebihan dan perlu gunakannya sebaik mungkin, lagipun kita mempunyai kelebihan jaringan tempat lawan dan kalau kita dapat pamer aksi konsisten serta barisan pertahanan beraksi dengan baik, sudah pasti kita boleh mara ke pusingan seterusnya,” katanya.