
Biarpun mendahului dua kali pada perlawanan menentang Terengganu FC (TFC), nasib nyata bukan milik PKNP FC apabila sekadar seri 2-2 dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, semalam.
Bagi jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim mengakui anak buahnya telah memberi yang terbaik bagi menumpaskan finalis Piala Malaysia musim lalu tetapi tetap berpuas hati dengan satu mata yang dikutip.
“Dua kali kami mendahului tapi nasib tidak menyebelahi, kita bertemu pasukan yang berpengalaman dan sudah mengalahkan pasukan Pahang (suku akhir pertama Piala FA), Alhamdulillah…yang paling penting dapat mengelakkan kekalahan.
“Pasukan lawan menggunakan dengan baik setiap peluang yang ada termasuk menerusi tendangan percuma dan percubaan jarak jauh yang membuatkan pemain terutama penjaga gol tersilap membuat jangkaan, begitupun kita dapat pertahankan satu mata berharga,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pertemuan akan datang menentang Perak dalam aksi kedua Piala FA di Stadium Perak.
“Ini adalah permainan yang sukar tetapi kita sudah usaha sehingga suku akhir dan ia adalah perlawanan ‘hidup atau mati’ dengan penentu di Stadium Perak.
“Bagi saya, pemain harus guna pentas suku akhir ini untuk bermain sebaik mungkin sebab kita tahu kelebihan banyak memihak kepada pasukan Perak daripada segi kualiti, gelaran dan penyokong.
“Kita akan lihat dalam tempoh terdekat strategi dan taktikal yang akan digunakan, sekurang-kurangnya kita cuba dapatkan kekuatan pemain import mencukupi untuk bersaing dengan Perak yang kita nampak padu daripada semua posisi,” katanya.