Bekas jurulatih kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan meminta pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak terburu-buru dalam memilih pemain naturalisasi.
Bagi beliau, FAM perlu menekankan aspek disiplin dalam pemilihan pemain tersebut dan bukannya hanya memandang kepada kemampuan pemain tersebut.
Tambah Wan Jamak lagi, disiplin yang tinggi daripada pemain tersebut bakal meningkatkan keharmonian kepada pasukan bagi tempoh yang panjang.
“Kalau melihat dari segi prestasi memang tak dinafikan Liridon (calon terbaik), tapi akhir-akhir ini Melaka United dikhabarkan akan menggugurkannya. Kita tak tahu apa masalah sebenar dia di Melaka United, malah saya dan kita semua (peminat) tertanya-tanya mengenai kedudukan sebenar Liridon.
“Namun, kalau dilihat dari segi rekod disiplin, dia tidak begitu baik terutama ketika di Kedah. Sekarang ini kita nak tanya kepada pegawai yang memilih, adakah kriteria hanya semata-mata atas prestasi saja?
“Kalau boleh fikir semasak-masaknya dan lihat juga dari segi disiplin kerana kita tak mahu esok apabila sudah menyarung jersi Malaysia ada pula isu-isu lain yang dia timbulkan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Beliau turut mengakui pemain import Johor Darul Ta’zim adalah yang paling layak mengisi slot pemain naturalisasi.
“Ciri penyerang yang bagus, selain menjaringkan gol mestilah boleh bertahan, baik dalam situasi satu lawan satu, bagus dalam membuka ruang buat rakan lain dan mempunyai kelebihan menggunakan bola hantaran lintang kiri dan kanan.
“Malah, kalau tanya secara peribadi, pemain import terbaik di Malaysia ketika ini datangnya dari JDT. Tapi, persoalannya mahukah mereka main untuk negara serta melalui proses naturalisasi itu,” katanya.