Perlawanan tumpuan minggu ini menyaksikan PKNS FC bakal menerima kunjungan Perak pada perlawanan ke-12 saingan Liga Super minggu ini di Stadium Shah Alam.
Kedua-dua pastinya mahu membawa pulang tiga mata penuh pada perlawanan malam ini dengan PKNS FC mahu meneruskan rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan Kuala Lumpur di tempat sendiri hasil jaringan Romel Morales dan dua jaringan Kpah Sherman.
PKNS FC sebelum ini tewas mengejut dengan Kedah, 3-1 pada perlawanan Piala FA sebelum ini semestinya mahu melupakan episod duka tersebut dan mahu kekal fokus pada perlawanan Liga Super seterusnya.
Datuk K. Rajagopal semestinya akan membuat beberapa pertukaran pemain bagi menurunkan pemain yang mantap bagi mengatasi asakan Perak yang kuat di bahagian tengah dan serangan Perak yang diketuai oleh Gilmar da Silva.
Manakala bagi pasukan Perak, kemenangan dengan PKNP FC di Stadium Manjung minggu lalu memberikan suntikan semangat buat anak buah Mehmet Durakovic untuk bangkit setelah mencatat tujuh keputusan seri, dua tewas dan dua kemenangan.
Beberapa siri keputusan seri sebelum ini telah membuatkan bekas juara Piala Malaysia musim lalu sedikit terumbang ambing sehingga terperosok di tangga ke lapan Liga Super.
Walaupun terdapat desas desus daripada para penyokong yang mahu pengurusan ditukarkan, tetapi bagi Persatuan Bolasepak Perak (PFA) mereka masih percaya dengan kemampuan Durakovic mengendali pasukan.
Perlawanan ini bakal menyaksikan peluang terbuka buat PKNS FC memintas Kedah dan Selangor bagi meletakkan pasukan mereka di tangga ke tiga liga jika Kedah dan Selangor gagal membenam lawan masing-masing.
Manakala bagi Perak, mereka sememangnya memerlukan kemenangan bagi membuka peluang kepada mereka untuk naik ke kedudukan yang baik.