Setiausaha Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam tidak mahu mengambil sikap terburu-buru dalam mengambil pemain berdarah campuran untuk menyarung jersi kebangsaan.
Bagi beliau, pemilihan ini perlu mengikut penelitian yang lebih kerana ianya bukanlah semudah yang disangka.
“Kita tiada sasaran untuk mengambil berapa ramai pemain kerana antara kriteria utama dipertimbangkan adalah mengenai kemampuan mereka menyumbang kepada skuad kebangsaan.
“Perbincangan perlu dilakukan dengan pihak terbabit kerana ia membabitkan karier dan cara hidup seseorang pemain kerana ada kalanya, pemain yang dicalonkan memiliki pasport negara di sana.
“Memang kita melakukan pemantauan namun kajian tetap perlu dijalankan. Kita melakukan analisis dalaman sebelum kita mengumumkan pengambilan mana mana pemain berdarah campuran.
“Banyak pertimbangan perlu diambil kira daripada sudut teknikal dan bukti berdasarkan dokumen yang akan dilampirkan. Jadi, bukan setakat berdarah warisan saja mereka terus dipanggil,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Bolasepak Dunia Asia (WFSA), di sini.