Liga Super Malaysia Berita

Kipre Tchetche masih belum selamat

Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim memberi amaran kepada penyerang utamanya, Kipre Tchetche menjelang perlawanand engan Petaling Jaya City FC (PJ City)

Beliau dituntut konsisten dan sentiasa berada di prestasi terbaik selepas berjaya meledak dua gol ketika bertemu Felda United minggu lalu.

Namun itu tidak memberi beliau tempat yang selesa dalam pasukan kendalian Irfan Bakti.

“Sentuhan berbisa pemain itu terus ditagih pasukan pada aksi di tempat lawan malam esok (Sabtu), ini kerana dia adalah penyerang tulen dan tugas untuk meledak jaringan sudah pasti terletak di bahunya.

“Justeru kami tidak ada pilihan selain menggesa pemain itu membuktikan penyudahnya tetap tajam biar pun setakat ini baharu meledak dua gol dalam aksi Liga Super dan satu gol Piala FA,” kata Irfan.

Untuk rekod, Kipre telah melalui sembilan perlawanan tanpa jaringan sebelum meledak pada perlawanan Felda United.

“Kami harap jaringan itu mampu membakar semangatnya untuk tampil lebih berbisa seperti ketika menentang FELDA tempoh hari yang boleh saya rumuskan sebagai aksi terbaiknya musim ini.

“Malah secara peribadi saya terkejut dengan peningkatan prestasinya yang kembali kepada permainan asalnya iaitu lincah dan selesa dengan bola.

“Jika itulah corak permainannya, kemungkinan dia akan kekal bersama pasukan tetapi saya tidak mahu membuat keputusan muktamad lagi kerana tugasan pemain itu belum selesai terutama bertemu Pahang pada aksi suku akhir pertama Piala FA Rabu depan,” katanya