Liga Super Malaysia Berita

Keputusan seri di Darul Aman buat Sathianathan kecewa

Biarpun berjaya mengikat Kedah di Stadium Darul Aman semalam, bagi pengendali Selangor, B. Sathianathan kecewa dengan anak buahnya yang gagal membawa pulang tiga mata penuh.

“Saya kecewa kerana kami tidak dapat membawa pulang tiga mata pada malam ini seperti yang dirancangkan namun saya tetap ucapkan tahniah kepada pemain kerana beraksi dengan baik walaupun ada kesilapan kecil namun masih boleh dibaiki.”

“Apa yang terjadi adalah kerana pemain gopoh di depan pintu gol dan selepas Sandro berjaya hasilkan gol, kita juga mengharapkan gol daripada pemain tempatan kerana kami tidak memiliki penyerang dan pemain tengah yang seorang lagi.”

“Kita ada banyak peluang terutama pada separuh masa pertama tapi itulah, jika kita tak ada penyerang yang betul betul tulen, kita sedikit sukar, tapi syabas pemain yang telah memberi aksi terbaik mereka.”

Selain daripada itu, ketiadaan Rufino Segovia dan Endrick Dos Santos yang tidak dapat diturunkan pada perlawanan ini akibat faktor kecederaan antara punca kenapa Selangor gagal membawa pulang tiga mata penuh.

“Jadi dengan ketiadaan mereka (Rufino dan Endrick), kami meletakkan Sean Selvaraj dan saya berharap dia perlu belajar daripada kesilapan-kesilapan yang ada. “

“Syahmi ada tiga peluang untuk menjaring gol tetapi kurang pengalaman dan jika beliau ada pengalaman, saya rasa dia boleh jaringkan ketiga-tiga gol itu.”

“Saya yakin kalau kita ada Rufino, kita boleh kekal pada tiga tangga teratas liga dan oleh sebab itu, saya sudah berbincang dengan pengurusan untuk mengambil seorang penyerang kerana jika kami tunggu Rufino, dia hanya bersedia untuk beraksi bermula pada bulan Julai ini.”

“Saya rela menunggu Rufino untuk aksi Piala Malaysia yang akan datang kerana Rufino merupakan seorang pemain yang penting.” Katanya.