Liga Super Malaysia Berita

Pahang mahu benam JDT dihadapan penyokong sendiri

Pahang bakal turun dengan misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dan dalam masa yang sama mahu membenam cabaran Johor Darul Ta’zim dalam saingan perebutan takhta Liga Super.

Bermain dihalaman sendiri, skuad Tok Gajah dilihat tidak mempunyai masalah untuk menafikan hasrat JDT di hadapan penyokong mereka sendiri.

Bagi Pengurus Pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, “ini peluang terbaik untuk kita catat kemenangan dan merampas kedudukan teratas Liga Super daripada mereka (JDT).

“Kita mempunyai rekod yang baik dan belum lagi tewas dalam saingan Liga Super setakat ini, jadi saya minta semua pemain tampil dengan aksi konsisten dalam perlawanan hujung minggu ini,” katanya.

Beliau juga meminta pengendali pasukan, Dollah Salleh agar memberi tumpuan kepada memantapkan jentera serangan skuad Tok Gajah

“Semua pemain sudah mempamerkan aksi terbaik mereka (dalam perlawanan sebelum ini) dan terpulang kepada Dollah untuk tentukan corak taktikal akan digunakan.

“Sudah pasti perlawanan malam Ahad ini juga banyak bergantung kepada sokongan daripada peminat setia skuad Tok Gajah… tanpa mereka, pasukan Pahang seolah-olah kehilangan semangat juang.

“Jadi, saya minta semua penyokong dan peminat setia Pahang turun beramai-ramai membanjiri Stadium Darul Makmur bagi memberikan motivasi serta suntikan semangat kepada pemain,” katanya.