Bekas pemain Perlis Northern Lion 2 (PNL2) yang sebelum ini menyara kehidupan mereka sebagai nelayan dan pencucui kereta telah ditawarkan untuk menyertai pasukan Perlis FC.
Seramai 15 daripada 18 bekas pemain tersebut bakal dilatih oleh bekas jurulatih Piala Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Manja Man, di mana beliau turut dilantik sebagai ketua jurulatih Perlis FC dan akan mengendalikan skuad itu yang dijangka menyertai kancah liga tempatan tahun depan.
Tawaran menyertai pasukan yang dimiliki oleh Harini Sdn Bhd itu memberi nafas lega kepada semua pemai bahawa karier bola sepak mereka masih belum terkubur.
Bekas Kapten PNL2, Ezzrul Ikmanizar Abd Rahman berkata, dia bersama rakan bersyukur apabila masih ada pihak yang sudi membantu menyelamatkan karier mereka.
Memetik kata-kata beliau di Arena Metro, “kami berharap selepas ini perjalanan kami dipermudahkan kerana sudah penat apabila sebelum ini kami seakan dipermainkan pihak tidak bertanggungjawab. Memang saya berharap dengan tertubuhnya Perlis FC ini, ia dapat mengembalikan semula pembangunan bola sepak negeri ini selepas kemelut yang melanda PFA sejak tahun lalu seolah-olah melumpuhkan sukan ini di Perlis,” katanya.
Ezzrul berkata mahu fokus kepada pasukan terbaru ini dan mengharapkan isu gaji tidak berulang lagi.
“Sudah dua musim kami terkena (tidak dibayar gaji) dan perkara itu nyata memberi kesan besar sehingga ada rakan pasukan berhenti bermain bola sepak. Jadi selepas ini tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada persediaan dan ujian pemilihan pemain bagi membentuk pasukan,” katanya.