Malaysia Berita

Campur tangan pihak luar paksa KLFA bawa kes ke pengetahuan FIFA?

Campur tangan pihak luar ke atas hal ehwal Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KFA) memaksa pengurusannnya mahu mengambil langkah dengan membawa perkara ini ke pengetahuan Persekutan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Arena Metro, pihak luar tersebut adalah Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) yang mencabar untuk membatalkan pendaftaran KLFA andai ingkar dengan arahan PJS untuk mengadakan semula proses pencalonan semua jawatan.

Setiausaha Agung KLFA, Nokmat Mustaffa berkata bahawa beliau mahu membawa perkara ini kepada badan induk dunia selepas terdapat campur tangan pihak luar.

Dalam pada masa yang sama, KLFA akan menghantar surat kepada PJS meminta penangguhan kongres KLFA pada Ogos depan bagi memberi peluang kepada mereka menyelesaikan beberapa perkara.

“Jadi kita kalau boleh nak minta tangguh hingga bulan lapan atau sembilan untuk mengadakan kongres kerana yang mengganggu pelaksanaan terbabit adalah mereka (PJS) dan bukannya KLFA.

“Surat berkenaan juga meminta supaya jangan ada campur tangan daripada pihak mereka (PJS) dan pada masa sama akan dihantar kepada FIFA yang memaklumkan terdapat pihak luar cuba mengganggu persatuan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kuala Lumpur menentang Petaling Jaya City FC (PJ City), kelmarin.

KLFA mungkin dibatalkan pendaftarannya andai ingkar dengan arahan PJS untuk mengadakan semula proses pencalonan untuk semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres ke-31 persatuan itu.

PJS dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi surat bertarikh 22 Februari lalu meminta agar KLFA menjalankan kongres yang tertangguh lama sebelum atau pada 31 Mei depan.

Keputusan itu dicapai selepas PJS dan FAM melakukan beberapa perbincangan dan pertemuan bersama dengan meneliti segala hujah berserta fakta bagi menyelesaikan kemelut dalaman kongres ke-31 KLFA.