Malaysia Berita

Justin Ganai pengsan ketika sesi latihan

Pengendali skuad Piala Presiden Sabah, Justin Ganai rebah dan tiba-tiba jatuh pengsan ketika bertembung dengan seorang pemain mencetuskan situasi cemas.

Pengurus pasukan, Ebby Roy berkata bahawa Justin jatuh ketika sesi latihan bagi mempersiapkan pasukan bagi berdepan PJ City di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

“Difahamkan kejadian berlaku ketika pasukan mengadakan latihan bertahan di mana ketika itu salah seorang pemain bertembung dengan Justin sehingga menyebabkan dia rebah dan tidak sedarkan diri.

“Selepas itu, pegawai pasukan termasuk fisio segera memeriksa keadaan Justin seterusnya pihak ambulans datang dan membawanya untuk rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth II (QEH II),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ebby berkata, ketika menerima rawatan di hospital, Justin sudah sedar namun dia terpaksa ditahan dalam wad kerana pihak hospital mahu menjalankan rawatan susulan.

“Setakat ini saya difahamkan keadaan ‘coach’ Justin stabil namun kami masih menunggu laporan seterusnya daripada doktor.

“Saya berharap semuanya baik-baik saja dan semoga Justin akan kembali sihat seterusnya kembali mengendalikan pasukan seperti biasa,” katanya.