Kolum Futsal

KL City FC – Kisah sekumpulan anak muda dengan impian yang besar

Kejayaan tidak pernah datang bergolek dan kesungguhan serta komitmen yang tinggi adalah jalan terbaik untuk mencapai kejayaan tersebut.

Itulah apa yang kita boleh gambarkan tentang perjalanan KL City FC dalam mencapai cita-cita mereka bersaing bersama-sama pasukan besar di dalam Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada Jun ini.

Harus diingat, perjalanan mereka untuk sampai ke tahap ini tidak mudah dan penuh berliku.

Bermula dengan harapan kecil daripada beberapa anak muda yang mempunyai misi untuk melihat bakat mereka digunakan kearah satu perkara yang positif sehingga tertubuhnya satu pasukan yang beraksi ditahap profesional.

“Apabila saya mahu lakukan sesuatu, saya mahu lakukan dengan sepenuh hati saya” kata Jerry Dinesh, pengurus pasukan dan pengasas KL City FC.

Tetapi sebelum kita bercerita tentang perjalanan KL City FC, selayaknya untuk kita mendengar kejayaan dan pengalaman yang dimiliki oleh Jerry dalam kancah arena futsal kerana ia mempunyai hubungan tentang bagaimana tertubuhnya KL City FC.

Jerry adalah bekas pemain kebangsaan yang telah bermain futsal sejak 25 tahun yang lalu, tetapi pada permulaan tahun 90-an sukan ini lebih dikenali sebagai street soccer dan dikelola oleh jenama Puma pada masa itu.

Pencapaian peribadi beliau adalah pada tahun 1995, di mana beliau mewakili Malaysia pada Puma Street Soccer Piala Dunia yang dijalankan di Berlin, Jerman. Pada ketika itu, Malaysia diundi bersama-sama dengan Jerman, Argentina dan Portugal.

Ia menjadi lebih manis pada ketika itu apabila pasukan Malaysia berjaya menewaskan Portugal yang dipenuhi ramai bintang ketika itu.

Selepas mencipta kejayaan di Jerman, Jerry tidak lagi memandang ke belakang dan meneruskan kerjaya beliau sebagai pemain futsal negara dan telah menempah beberapa kejayaan bersama-sama pasukan negara.

Mengulas lanjut sambutan peminat pada ketika itu, dengan penuh senyuman Jerry menceritakan satu kenangan yang beliau tidak dapat lupakan.

“Pada kejohanan Kuala Lumpur World 5 2003, saya masih ingat Stadium Putra ketika itu dipenuhi oleh ramai penyokong Malaysia. Saya tidak menyangka 10 ribu penyokong hadir dan bersorak menyokong kami.

“Bayangkan, mereka melompat di atas lantai konkrit dan kami di gelanggang dapat merasa gegaran suasana tersebut.

“Dan ia menjadi lebih manis pada waktu itu kerana kami layak ke peringkat akhir dan menewaskan Indonesia.”

Biarpun ketika itu budaya futsal di negara kita tidak berkembang seperti di eropah, di mana semua peminat akan hadir dan turun menyokong pasukan mereka. Tetapi ia adalah permulaan yang baik untuk mengembangkan pasukan futsal.

Beliau meneruskan kerjaya beliau bersama pasukan MAKSAK, Selangor, ATM (Angkatan Tentera Msia) dan beberapa pasukan lain dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan ketika itu.

Selepas itu, beliau berhenti selama 10 tahun daripada arena futsal untuk fokus kepada perniagaan yang di bina oleh beliau.

Sehinggalah pada tahun 2016, permulaan baharu yang beliau tidak dapat lupakan.

“Pada ketika itu, sekumpulan anak muda yang mempunyai jiwa dan cinta mereka pada futsal datang kepada saya dan meminta saya untuk menjadi jurulatih mereka.

“Saya masih ingat mereka kata kepada saya yang mereka mahu bersaing di kejohanan yang lebih besar, iaitu Liga Futsal Kebangsaan.” Katanya

Mendengar objektif dan misi anak muda ini, Jerry cuba bersikap realistik dan positif, beliau tahu bahawa pasukan ini belum sampai ke tahap untuk bersaing dalam Liga Futsal Kebangsaan pada waktu itu.

Tetapi itu tidak mematahkan semangat beliau dan para pemain untuk mencapai misi tersebut.

“Apa yang menarik tentang mereka adalah mereka mempunyai semangat untuk meningkatkan permainan mereka.

“Kami berlatih di gelanggang kecil pada ketika itu selama satu tahun di Samba de Futsal, Petaling Jaya. Tiga bulan sebelum kami menyertai kelayakan Liga Futsal Kebangsaan, kami mula berlatih di gelanggang FIFA dan berjaya memenangi beberapa kejohanan.

“Pada akhir 2016, kami mencuba nasib dalam kelayakan Liga Futsal Kebangsaan dan bersaing dengan pasukan-pasukan besar,”

Ketika itu, kelayakan disertai oleh 18 pasukan dan hanya tiga pasukan yang layak untuk menyertai Liga Futsal Kebangsaaan.

“Kami bersyukur kerana kami dapat menewaskan KSMR Kangar FC, 2-1 pada peringkat kalah mati ketika itu dan melayakkan diri ke Liga Futsal Kebangsaan.

“Ia seolah-olah mimpi jadi kenyataan buat para pemain.”

Pada tahun pertama KL City FC dalam Liga Futsal Kebangsaan, mereka berjaya mencatat keputusan yang memberangsangkan apabila meletakkan pasukan mereka di kelompok empat terbaik.

Ia adalah perjalanan yang panjang dan menyentuh.

Tetapi kejayaan tanpa cabaran bukanlah cerita yang menarik untuk didengar.

“Kami pernah ke Pahang dengan hanya menggunakan kereta kerana kami tidak mempunyai wang untuk menyewa bas.

“Apabila saya melihat kebelakang, susah senang pasukan – duit, masa dan latihan – ia membuatkan saya tertanya-tanya bagaimana kami mampu berada disini.

“Tetapi melihat kepada semangat para pemain, ia membuatkan saya percaya bahawa kami boleh lakukan semua perkara yang orang kata sukar untuk dikecap.”

KL City FC bakal beraksi secara profesional pada kejohanan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) pada Jun nanti bersama-sama dengan pasukan lain dan mereka adalah satu-satunya kelab yang layak.

Satu pencapaian yang patut dibangga.

Di penghujung perbualan, kami masuk ke arah satu persoalan yang sama. Apakah penting seorang pemain memasuki fasa menjadi seorang insan sebelum menjadi seorang pemain?

Dengan tenang Jerry menjawab, “Untuk menjadi seorang insan adalah perkara utama.

“Tetapi kita tidak pernah sampai ke sana, saya sendiri belum percaya saya masih seorang insan. Kerana saya manusia, saya melakukan kesalahan.

“Apa yang kita boleh lakukan adalah belajar daripada kisah lampau kita.”

Beliau kemudian memberi contoh.

“Jika suatu hari seorang pemain datang kepada saya dan mengadu. ‘Hey coach, team lawan cubit saya’. Sebagai seorang bekas pemain, saya pernah berada pada situasi itu dan saya membalas balik dengan balasan yang lagi teruk, agresif. Tetapi persoalan sebenar adakah perbuatan membalas balik itu betul untuk diajar? Tidak. Kenapa? Kerana itu adalah kesalahan. Tetapi apa yang saya lakukan adalah dengan menceritakan kesalahan sebagai pengajaran bahawa sebagai seorang manusia saya tidak boleh melakukan itu.” Kata Jerry, selepas itu menyambung. “Itulah nilai-nilai ke arah menjadi seorang insan. Kita tidak jauh daripada nilai itu, tetapi belum cukup sempurna untuk sampai ke sana.”

Selepas itu, beliau menambah.

“Seperti sekarang, kami tidak pernah bermimpi untuk pergi sejauh ini, daripada sebuah pasukan dengan status semi-pro dan sekarang menjadi profesional.

Tetapi apa yang kami tahu, ini hanyalah sebuah permulaan dan perjalanan kami masih jauh dan panjang.” Katanya.