Kolum Futsal

Futsal mampu kurangkan masalah sosial – Ramli Sanusi, CT Nur Nilam

Karnival futsal tahunan Milo Hidup Bola kembali untuk tahun ke-14 di Nilai, Negeri Sembilan.

Hampir 600 kanak-kanak daripada 72 pasukan futsal peringkat akar umbi bertanding dalam dua kategori – Bawah – 12 dan Bawah – 16 – untuk gelaran juara dan calon juara kebangsaan pada bulan Jun.

Salah satu pasukan yang mengambil bahagian – dan penyokong karnival sejak penubuhannya – ialah CT Nur Nilam yang di asas oleh Ramli Sanusi.

“Saya melatih anak-anak dari usia yang sangat muda, ada yang berumur lima tahun. Sukan membawa mereka bersama-sama dan saya percaya permulaan awal untuk memupuk semangat dan bakat mereka,” kata Ramli yang melatih kanak-kanak secara percuma.

Memenangi kejuaraan mungkin matlamat untuk CT Nur Nilam, tetapi Ramli berkata peranannya sebagai jurulatih adalah lebih daripada sekadar mencari bakat akar umbi.

“Saya tidak mahu anak-anak tinggal di jalanan dan menggalakkan mereka untuk aktif dalam sukan. Ini mendorong saya untuk memperkenalkan futsal kepada mereka 23 tahun lalu. Dari masa ke masa, kami mula mengambil bahagian dalam pertandingan yang membawa kami ke Milo Hidup Bola.

“Melihat kanak-kanak tetap aktif dan sihat melalui karnival ini membuatkan saya bangga. Walaupun kami tidak memenangi kejohanan hari ini, saya mengingatkan mereka bahawa juara tidak pernah berputus asa dan itulah nilai yang saya mahu tanamkan.

“Cita-cita tinggi, kerja berpasukan, hormat dan rendah hati adalah langkah-langkah seorang juara yang benar,” kata Ramli, sambil menambah pasukan itu akan meneruskan perjalanan Milo Hidup Bola di Melaka pada 13 April.