Liga Super Malaysia Berita

Dollah Salleh kemungkinan tidak bersama Tok Gajah

Pahang bakal menghadapi PJ City FC di Stadium Darul Makmur, Ahad ini mungkin tanpa kehadiran ketua jurulatih, Dollah Salleh.

Ini dilaporkan bahawa beliau bakal menghadiri kursus lesen pro di Kuala Lumpur dan dua penolong jurulatih, Ahmad Shaharuddin Rosdi dan Shahrulnizam Sahat bakal menggalas tugas yang ditinggalkan beliau.

Bercakap kepada Berita Harian, beliau menyatakan, “sama ada saya akan berada di Kuantan pada hari perlawanan (Ahad ini) tidak dapat disahkan buat masa ini kerana perlu menghadiri kursus lesen pro.

“Tapi, jika diberikan pelepasan oleh pengurusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), saya akan bersama pemain kerana ia perlawanan yang sengit untuk mengukuhkan kedudukan pasukan dalam saingan Liga Super.

“Lebih-lebih lagi, PJ City berada pada prestasi terbaik ketika ini termasuk membenam PKNS FC 1-0 pada 30 Mac lalu,” katanya.

Pahang berjaya menduduki takhta Liga Super selepas mengambil peluang keputusan seri yang dicatat dua pencabar terdekat – Kedah dan Johor Darul Ta’zim.

Kemenangan ke atas FELDA United minggu lalu memberi kedudukan selesa buat Tok Gajah dengan mengutip 17 mata.