Edisi ketiga Piala Juara-Juara Antarabangsa di Singapura akan berlangsung Julai ini dengan pilihan kelab-kelab terkemuka Eropah. Relevent Sports Group, pemilik dan pengendali Piala Juara-Juara Antarabangsa, hari ini mengumumkan empat pasukan terkemuka iaitu gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Tottenham Hotspur, serta kelab handalan dari Serie A Itali, Juventus dan Inter.
Format baharu dua perlawanan antara empat pasukan itu akan diadakan pada 20 dan 21 Julai, menjanjikan peminat dari dalam dan luar Singapura suatu persembahan bola sepak yang hebat.
“Kami sangat gembira membawakan Piala Juara-Juara Antarabangsa ke Singapura sekali lagi. Acara ini adalah satu-satunya platform bagi para peminat di rantau ini untuk melihat secara dekat pasukan kesayangan mereka,’’ kata Charlie Stillitano, Pengerusi Eksekutif Relevent Sports Group. “Manchester United, Inter, Juventus dan Tottenham Hotspur adalah kelab yang memiliki sokongan kuat di rantau ini, dan kami percaya para peminat akan teruja menyaksikan pertarungan mereka.”
Menurut Melissa Ow, Timbalan Ketua Eksekutif, Singapore Tourism Board: “Dengan nama-nama terbesar di dalam bola sepak Eropah menyertai kita sempena Piala Juara-Juara Antarabangsa tahun ini, Singapura akan menjadi destinasi pelancongan lebih menarik bagi peminat sukan pada Julai ini. Sebagai satu-satunya persinggahan di Asia Tenggara bagi ICC, kami mengalu-alukan kedatangan para peminat bola sepak dari seluruh rantau ini, dan kami berhasrat memberikan pengalaman tidak dilupakan kepada para pelawat.’’
Tahun ini, Piala Juara-Juara Antarabangsa Singapura mengalu-alukan AIA sebagai Rakan Kongsi Penyampai buat pertama kalinya. AIA adalah Rakan Kongsi Utama Global bagi Tottenham Hotspur. “AIA berbangga menjadi Rakan Kongsi Penyampai bagi Piala Juara-Juara Antarabangsa Singapura 2019, terutama semasa sambutan ke-100 tahun kami. Ini adalah peluang terbaik bagi para pelanggan, ejen, rakan kongsi dan warga pekerja kami untuk menyaksikan Tottenham Hotspur, yang mempunyai ramai bintang antarabangsa, bertarung di Asia,” kata Encik Ng Keng Hooi, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan AIA.
Pertandingan tahun ini akan menandakan kembalinya ke negara pulau itu untuk kedua-dua pasukan Liga Perdana yang cukup lama dinantikan. Ia juga akan menjadi penampilan pertama mereka di Stadium Nasional baharu selepas Tottenham beraksi di Stadium Kallang pada 1995, dan penampilan istimewa Fabien Barthez sebagai pemain tengah menjadi berita utama semasa kunjungan terakhir Red Devils’ pada 2001.
Begitu juga bagi kelab-kelab Itali. Juventus pertama kali bertarung bola sepak di Stadium Nasional yang baru dibuka melawan pasukan Pilihan Singapura pada 2014, manakala Inter menewaskan Bayern Munich dan Chelsea untuk dinobatkan sebagai juara Piala Juara-Juara Antarabangsa Singapura 2017.
Perlawanan pembukaan yang sepak mulanya pada Sabtu 20 Julai, adalah antara Manchester United menentang Inter, menandakan sedekad sejak kedua-duanya bertembung di dalam lapan pasukan terakhir Liga Juara-Juara UEFA. Dengan kedua-dua pasukan bersaing bagi kedudukan Liga Juara-Juara UEFA musim ini, pertemuan musim panas ini pastinya cukup sengit dengan potensi pertembungan heavyweight di Eropah musim hadapan.
Jadual lain dalam acara tersebut ialah Juventus bertemu Tottenham Hotspur pada Ahad 21 Julai. Ia adalah pertemuan semula perlawanan Liga Juara-Juara musim lalu dengan Spurs tentunya mahu menebus kekalahan di tangan Juventus pada pusingan 16 terakhir. Dengan kehadiran ramai pemain berkelas dunia, kedua-dua pasukan dari Turin dan pemenang Piala Juara Antarabangsa 2018 itu tentunya menjanjikan pertaringan berkualiti tinggi.