Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil mengakui pihaknya semakib serius untuk meningkatkan infrastruktur Terengganu FC (TFC) ke arah lebih baik.
Lebih tepat, Tengku Farouk menegaskan PBSNT mahu menyahut seruan Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang menggesa rakan-rakan kongsi MFL supaya memperbaiki fasiliti mereka demi kebaikan bola sepak tempatan.
Baru-baru ini, Tunku Ismail menerusi laman sosial memuji pendekatan PBSNT yang telah giat memulakan proses menaikkan taraf permukaan padang di Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu.
Mengulas lanjut, Tengku Farouk tanpa berselindung mengakui Terengganu memiliki impian untuk membangunkan fasiliti-fasiliti moden selaras peredaran zaman bola sepak moden selain mendedahkan skuad Penyu itu menjadikan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai inspirasi untuk menjadi kelab unggul baik dalam mahupun luar padang.
“Pertama saya mewakili PBSNT sangat terharu apabila Tunku Ismail memuji dan memberikan perhatian kepada usaha PBSNT meningkatkan fasiliti. Sudah pasti pujian Tunku Ismail memberikan kami lebih semangat untuk membangunkan infrastruktur moden sama seperti JDT.
“Kami pernah bertemu pihak Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dalam satu lawatan kerja di Johor Bahru pada tahun lalu dan ketika itu PBSNT mengambil kesempatan melawat fasiliti-fasiliti JDT yang sememangnya terbaik di Malaysia.
“Berdasarkan lawatan kerja itu, TFC sudah bersedia untuk mengambil contoh terbaik daripada JDT dan PBSNT juga mahu menjadikan JDT sebagai inspirasi untuk kami lebih berdaya saing dan berjaya di masa akan datang.
“Bagi pihak PBSNT, kami sudah pasti sentiasa mahu meningkatkan tahap kemudahan, venue dan fasiliti lain-lain dan kami akan melaksanakannya satu demi satu peringkat di mana saya percaya PBSNT memiliki keupayaan untuk berada hampir setanding dengan JDT daripada sudut fasiliti pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Farouk mendedahkan PBSNT telah menemui kata sepakat bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk memberikan ‘wajah baharu’ Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan mengecat tempat duduk penonton hitam putih selaras tema ‘We Bleed Black White’ yang dijangka siap pada bulan depan.
“Pengurusan Kompleks Sukan merangkap pemilik stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kini telah memulakan kerja-kerja mengambil rumput-rumput distadium tersebut bagi digunakan untuk membaiki padang-padang lain.
“Selain itu, bilik persalinan pemain juga telah ditambahbaik di mana saya percaya PBSNT dalam landasan tepat untuk menjadi salah satu kelab yang memiliki kemudahan moden sama seperti JDT,” katanya.