Liga Super Malaysia Berita

Irfan kecewa dengan ‘Drogba Ganu’

Terengganu FC (TFC) mengalami kekalahan kedua dalam kancah Liga Super musim ini apabila kedatangan TFC ke Stadium Shah Alam menentang Selangor, Jumaat lalu berakhir dengan 1-0.

Justeru, bagi pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya melupakan detik pahit dan menumpukan sepenuhnya pada aksi kedua Piala FA bertemu pasukan Liga M3, Ultimate FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa ini.

“Kekalahan kepada skuad The Red Giants itu perlu dilupakan segera pemain kerana misi kita seterusnya adalah mahu catat kemenangan bertemu pasukan Ultimate FC dalam saingan Piala FA Selasa ini,” kata Irfan.

“Bagaimanapun saya perlu pesan awal-awal kepada pemain supaya berwaspada dan tidak sesekali mengambil mudah pertemuan dengan pasukan Liga M3 itu bagi mengelak kita berputih mata di laman sendiri.

“Selain itu, saya mengharapkan pemain mencari jaringan awal bagi memberi tekanan kepada lawan dalam misi melangkah ke  pusingan seterusnya.”

Irfan tanpa berselindung mengakui kecewa dengan penjaring terbanyak TFC musim lalu, Kipre Tchetche yang masih gagal menjaringkan sebarang gol musim ini.

“Setakat ini sudah tujuh perlawanan pemain itu gagal meledak sebarang jaringan, apa yang saya inginkan pemain itu harus bangkit segera membuktikan prestasinya sebagai antara penyerang terbaik musim lalu,” katanya.

Musim lalu, pemain paling mahal skuad Penyu itu meledak 24 gol sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga M) termasuk dalam pentas Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.