Eropah Berita

Ronaldo Ledak Hatrik Pada Malam Yang Luar Biasa Buat Juventus

Pemain lagenda Manchester United dan Real Madrid yang mewakili Juventus untuk musim ini, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sendiri apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan 125 gol dalam kejohanan Liga Juara-Juara selepas beliau menjaringkan tiga gol untuk memimpin kebangkitan Juventus awal pagi tadi.

Kemenangan ke atas Atletico Madrid, 3-0 awal pagi tadi berjaya membawa Juventus ke kelompok lapan terbaik menerusi agregat 3-2 dengan Ronaldo menjaringkan dua gol hasil daripada tandukan dan satu gol daripada sepakan penalti.

Biarpun ketinggalkan pada perlawanan pertama, Ronaldo berjaya tampil cemerlang untuk menidakkan langkah Atletico Madrid ke suku akhir Liga Juara-Juara.

(Photo by Filippo Alfero – Juventus FC/Juventus FC via Getty Images)

Ronaldo ketika ditanya wartawan menyifatkan kebangkitan Juventus dan jaringan hatrik beliau adalah suatu yang ‘luar biasa’ buat pasukan gergasi Itali terbabit.

“Ia akan sentiasa menjadi malam yang istimewa dan ia bukan saja kerana jaringan itu, tetapi untuk pasukan,” kata Ronaldo. “Ini adalah mentaliti juara. Ini adalah sebab utama mengapa Juve membeli saya, untuk membantu meraih malam yang magis seperti ini.”

Pengendali Madrid, Simeone menyifatkan Juventus adalah pasukan terbaik dan Atletico seolah bergelut untuk mengatasi mereka.

(photo by Pierpaolo Piciucco/Action Plus via Getty Images)

“Juventus bermain dengan cara yang sama seperti kami lakukan pada perlawanan pertama. Kami bergelut dan mereka layak mara ke suku akhir,” kata Simeone.

“Saya tidak fikir ia adalah persembahan terburuk kami. Mereka bermain dengan lebih baik dan kami perlu mengucapkan tahniah kepada mereka.”

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri dalam pada itu memuji kematangan yang ditonjolkan skuad kendaliannya.

“Mereka menunjukkan kematangan yang hebat. Mereka menampilkan permainan terbaik, saya perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Inilah yang kami mahukan pada aksi pertama.

“Pada malam ini kami jelas, ada risiko ia akan menjadi perlawanan yang gila, seolah-olah ia perlu dilakukan dalam tempoh 10 minit.”