Malaysia Berita

FAM Jelas Isu Harga Tiket

Harga tiket Piala Airmarine yang dikatakan mahal tidak akan menjejaskan kehadiran jumlah kehadiran penyokong ke stadium.

Pihak penganjur telah menetapkan harga tiket RM45 untuk tempat duduk grandstand dan RM35 untuk tempat duduk terbuka.

Perkara ini dijelaskan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata bahawa satu tiket berkenaan boleh digunakan untuk menyaksikan dua perlawanan.

“Harga itu untuk dua perlawanan – kedua-dua aksi yang dilangsungkan pada hari sama (petang dan malam). Lagi pun ia dianjurkan pihak swasta dan bukan dibawah seliaan FAM,” kata Yusoff ketika ditemui pada sesi latihan pertama Harimau Malaya di Bukit Jalil, semalam.

“Saya percaya kedua-dua pihak sudah capai kata sepakat membabitkan harga tiket. Untuk bercakap tentang harga, ia agak susah kerana ada orang katakan ia masih murah dan ada yang cakap harga itu mahal.

“Pada saya, mungkin faktor pasukan yang ambil bahagian juga menyumbang kepada harga itu memandangkan ranking mereka lebih atas daripada kita. Tetapi saya rasa penyokong tetap datang dan harga itu masih mampu dibayar oleh mereka untuk berikan sokongan kepada skuad kebangsaan.”