Malaysia Berita

Khalid Tak Setuju Letakkan Kesalahan Di Bahu Jurulatih

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali menyifatkan adalah tidak wajar hanya untuk menyalahkan jurulatih sebagai punca kekalahan sesebuah pasukan.

Beliau mengulas lanjut situasi yang dihadapi Kuala Lumpur selepas jurulatih mereka, Yusri Che Lah meletak jawatan setelah gagal memberi sebarang mata dalam lima perlawanan Liga Super.

Memetik kata-kata beliau kepada Arena Metro, “tapi, apa yang kita tahu pemain sekarang tidaklah sampai kepada kualiti yang dikehendaki dan memuaskan hati pengurusan.

“Pengurusan sepatutnya faham dan beri kerjasama kepada jurulatih mengendalikan pasukan untuk satu musim. Mungkin mereka akan bawa perubahan kepada pasukan itu, tapi bila semua kekalahan dipertanggungjawabkan kepada jurulatih, itu memang salahlah,” katanya.

Khalid juga meminta agar pengurusan pasukan turut sama bertanggungjawab dan memberi kepercayaan penuh kepada jurulatih.

“Jika rasa pertukaran beri impak yang baik, kena tunggulah dan beri kepercayaan kepada jurulatih. Sebagai jurulatih profesional, mungkin perlu masa sedikit untuk memantapkan pasukan.

“Selalu tukar jurulatih dalam masa terdekat mungkin ada kepincangan,” katanya kepada Arena Metro.