Malaysia Berita

Hanya Langit Menjadi Sempadan – TMJ

Biarpun tewas tipis pada perlawanan pertama Liga Juara-Juara Asia, Kumpulan E di tangan Kashima Antlers, ia tetap akan menjadi kebanggaan buat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Keputusan yang tidak memihak kepada JDT apabila dua gol awal Kashima Antlers menggagalkan misi mereka untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata, namun ia adalah satu rekod yang membanggakan apabila menjadi kelab pertama yang bertanding di peringkat tertinggi Asia.

“Belum sampai enam musim selepas transformasi menjadi Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), dan begitu banyak penambahbaikan telah dilakukan sepanjang tempoh tersebut, Harimau Selatan kini mempamerkan cita-cita besar mereka.

“Oleh yang demikian, adalah menjadi kepercayaan di dalam Keluarga JDT bahawa hanya langit menjadi sempadan buat pasukan Johor.” Kata Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman rasmi Johor Southern Tigers.

JDT beraksi baik pada perlawanan pembukaan semalam yang menyaksikan kerja keras perlu dilakukan pasukan tuan rumah untuk memastikan tiga mata penuh.

Sekalipun tewas dengan pasukan tuan rumah, JDT telah menunjukkan semangat juang yang tinggi selama 90 minit perlawanan dan hampir menyamakan kedudukan diakhir-akhir minit perlawanan.

JDT akan menghadapi Gyeongnam FC pada 12 Mac di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor.