Pahang gagal mencatat kemenangan ketiga keatas Melaka United minggu lalu dilihat bakal melepaskan kekecewaan mereka terhadap Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.
Bagi pemain kelahiran Indonesia, Saddil Ramdani, beliau percaya skuad Tok Gajah mampu mengatasi Selangor di hadapan penyokong sendiri.
“Kami perlu tampil dengan prestasi terbaik terutama untuk menceriakan peminat Tok Gajah dengan misi meraih tiga mata di laman sendiri.
“Sudah pasti beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super musim ini.
“Saya harap dapat mempamerkan prestasi lebih baik dan dapat melakukan jaringan seperti yang dilakukan pada perlawanan dengan Kuala Lumpur apabila menjaringkan satu gol,” katanya kepada Berita Harian.
Saddil juga menyatakan ketiadaan Nor Azam Azih yang digantung perlawanan adalah satu kerugian buat skuad Tok Gajah tetapi beliau percaya sesiapa sahaja yang menggantikan Nor Azam akan memberikan komitmen yang tinggi.
“Tapi, saya percaya pemain yang akan menggantikan Nor Azam mampu bermain dengan bagus untuk menafikan peluang Selangor Ahad ini.
“Selain saya, kami juga memiliki Mohamadou Sumareh, Safuwan Baharudin, Matthew Davies dan Jose Eduardo untuk memberi tekanan kepada Red Giants.
“Saya harap kami dapat beraksi dengan baik seperti dipersembahkan ketika menang ke atas Kuala Lumpur dan Terengganu FC (TFC),” katanya kepada Berita Harian.