Pertembungan diantara PKNS menentang Melaka United (MU) bakal menjadi perlawanan tumpuan pada aksi kedua Liga Super di Stadium Shah Alam.
PKNS FC yang menunjukkan belang mereka pada musim lalu apabila berjaya menduduki kelompok empat terbaik Liga Super bukanlah lawan mudah buat skuad MU. Tambahan pula, skuad Red Ants yang hadir dengan beberapa tonggak baru pasti akan menjadi pencabar bagi Liga Super musim ini.
Manakala pasukan MU yang bakal bertandang ke Stadium Shah Alam pasti tidak akan tunduk dengan kehebatan PKNS FC. Pengendali skuad Melaka, Zainal Abidin Hassan bakal membarisi pemain yang berpengalaman dalam misi mencatat kemenangan kedua.
Bagi penjaga gawang MU, Khairul Fahmi Che Mat menyedari akan kekuatan PKNS, tetapi beliau percaya bahawa pasukannya akan mengutip tiga mata penuh.
Memetik kata-kata beliau di Harian Metro, “berdasarkan persembahan kami berdepan PJ City di Melaka minggu lalu, pastinya segala kelemahan yang ada akan segera diperbaiki bagi mengejar misi cemerlang pada pertemuan kali ini.
“Gerakan berpasukan dan kelebihan yang ada akan terus diperagakan untuk tidak menghampakan pada perlawanan kedua nanti,” katanya.
Pada perlawanan pembukaan Liga Super menentang PJ City yang lalu, skuad MU berjaya mencatat kemenangan. Liridon Krasniqi dan Casagrande berjaya memberi tiga mata penuh kepada skuad Melaka.
Manakala PKNS FC pula hanya mampu seri dengan pasukan Terengganu pada aksi pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. PKNS yang bermula cemerlang pada aksi tersebut ditidakkan tiga mata penuh apabila skuad tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada aksi lewat perlawanan.