Berita Asian Cup

Jordan Mara Dengan Bergaya, Syria Pecat Jurulatih

Jordan menjadi pasukan pertama yang layak ke pusingan kalah mati pada kempen Piala Asia 2019 setelah berjaya menewaskan Syria 2-0 di Stadium Al Ain.

Keputusan ini juga menyaksikan Persatuan Bolasepak Syria (SFA) memecat jurulatih negara tersebut, Bernd Stage selepas beberapa jam tewas kepada Jordan. SFA juga mengumumkan Ayman Hakeem bakal mengambil tempat sebagai jurulatih sementara Syria.

Untuk Jordon, kemenangan pada malam Khamis bermakna Borkelmans dan anak buah akan kekal menghuni tangga teratas kumpulan.

Australia bakal menghadapi Palestin di Abu Dhabi pada hari ini dan Jordan bakal bertembung dengan Palestine pada perlawanan akhir peringkat kumpulan pada 15 Januari nanti, manakala Australia bakal bertemu Syria pada tarikh yang sama.

Bermain di Stadium Khalifa Bin Zayed, Jordan memulakan permainan dengan ghairah apabila acap kali menyerang pantas ke kubu Syria. Di bahagian sayap pasukan Jordan, Yaseen Bakheet dan Yousef Rawshded kelihatan membahaya dengan larian pantas manakala Suleiman menjadi penyerang tunggal yang kelihatan dahagakan gol.

Suleiman beberapa kali mencuba ke arah pintu gol Syria tetapi sepakan beliau terbang jauh ke belakang gol Syria manakala Rawshded sepatutnya sudah mencetak gol pertama buat Syria tetapi cubaan beliau gagal menembusi gol pihak lawan.

Gol Jordan hadir pada minit ke 26 apabila Bakheet memotong bola daripada sebelah kiri sebelum membuat hantaran ke Rawshded. Cubaan Rawshded yang tidak dikawal berjaya ditampan oleh Musa Al-Taamari untuk gol pertama Jordan.

Tiga minit selepas itu, Jordan hampir menambah derita Syria apabila cubaan Suleiman terkena palang gol.

Gol kedua hadir dua minit sebelum separuh masa pertama tamat dan Jordan menciptanya daripada sepakan sudut Baha Abdelrahman yang berjaya mencari Khattab yang menanduk masuk untuk gol kedua Jordan.

Tersentak dengan dua gol Jordan diseparuh masa pertama, Syria cuba untuk bangkit tetapi nasib tidak menyebelahi mereka apabila beberapa cubaan mereka gagal menghasilkan gol.