Malaysia Berita

Masa Depan Akhyar – JDT Bertegas, Kedah Enggan Mengalah

Johor Darul Ta’zim bertegas tidak akan mengadakan sebarang rundingan dengan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi mendapat bintang muda daripada utara tersebut, Akhyar Rashid.

Memetik kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edward menerusi laman Facebook, Johor Southern Tigers malam tadi  menyatakan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengeluarkan keputusan bahawa Akhyar sudah menamatkan kontrak beliau bersama Kedah dan pemain itu sudahpun berstatus bebas.

“Pampasan yang perlu dibayar oleh JDT kepada Kedah jika Akhyar bersetuju menandatangani bersama JDT ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas rundingan yang dibuat berdasarkan undang-undang bola sepak.

“JDT akan menghormati keputusan ini dan akan membuat bayaran sepatutnya jika kami mencapai perjanjian dengan Akhyar.

“Kami terkejut melihat akaun media sosial milik KFA yang cuba memanipulasi penyokong dengan menyebarkan maklumat kurang tepat berkenaan pengumuman skuad Harimau Selatan sedang berunding dengan Akhyar,” katanya.

Manakala KFA dalam satu kenyataan yang dibuat sebelum ini menerusi Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, nilai pampasan tebus kontrak sebanyak RM210,000 dan tambahan RM75,000 untuk pampasan latihan perlu dinilai semula dan KFA akan merayu kepada FAM untuk melihat semula kes pemain tersebut.

“Kami akan lihat perkara ini dari satu tahap ke tahap lain dan akan bermula dengan merayu terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Rayuan FAM.

“Rayuan ini agar FAM melihat kembali kes ini dan lihat apa jawapan FAM. Surat rayuan akan dikeluarkan esok,” katanya dihubungi Sukan Sinar petang tadi.

Lang Merah sebelum ini menerusi Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengulangi pendirian KFA bahawa pasukan yang mahu mendapatkan pemain Kedah perlu bersikap profesional dengan menghubungi KFA dan bukannya melalui jalan belakang.