Walaupun membelasah wakil Asia Tengah, Tajikistan dengan bergaya pada perlawanan sulung Kumpulan A, Kejohanan AFC B-16, seorang pemain remaja negara, Sikh Izhan Nazrel telah dilayangkan kad merah oleh pengadil kerana mengasari pemain lawan.
Insiden tersebut terjadi pada minit ke-87 yang menyaksikan pemain Tajikistan itu dibawa keluar setelah dilutut oleh Sikh tepat didada. Malaysia yang telah melakukan 3 pertukaran terpaksa memberikan tugas panjaga gol kepada pertahanan tengah, Muhammad Hariz Mansor.
Walaupun berjaya menghalang bola sepakan penalti daripada menerjah gawang, beliau tidak dapat mengahalang sepakan susulan daripada situasi bola muntah yang berpunca daripada tangkapan kurang kemas olehnya.
Lim Teong Kim yang ditemui selapas perlawanan menyifatkan bahawa mereka masih lagi remaja dan sememangnya akan melakukan kesalahan. Apa yang penting adalah mereka perlu bangkit untuk membuat persembahan yang lebih baik.
Perkara tersebut langsung tidak memberi masalah buatnya dan Teong Kim turut menegaskan bahawa Malaysia B-16 tidak bergantung kepada kekuatan seorang pemain. Pemain yang akan menggantikannya tidak kurang hebatnya.
“Saya sudah katakan semalam (kelmarin) bahawa mereka ini masih budak-budak. Dia beraksi dengan baik namun satu kesilapan dilakukannya tetapi pada saya, ia bukanlah satu masalah.”
“Ini sebahagian daripada proses pembelajaran dan mereka dibenarkan untuk membuat kesilapan. Sudah tentu mereka akan bangkit dan memperagakan persembahan lebih baik.”
“Kami masih ada pemain tidak kurang hebatnya dan sama bagus dengan Sikh. Kami memiliki kelompok pemain yang baik dan tidak hanya bergantung kepada seorang pemain,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Tambahnya lagi, beliau bangga dengan kemenangan pertama anak buahnya dan mahukan mereka menikmati kemenangan besar ini sebelum mula bekerja bagi menghadapi dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Jepun.
“Saya bangga dengan kemenangan pertama anak buahnya dan inilah permulaan yang saya inginkan.
“Walaupun meraih kemenangan besar 6-2, perlawanan ini tetap memberi kesukaran kepada pemain. Jadi, kami akan menikmati kemenangan pada hari ini sebelum kembali bekerja pada hari esok,” katanya.