Saya mahu teruskan karier di Thailand.
Itu azam penyerang negara, Shahrel Fikri yang kini beraksi bersama kelab Nakhon Ratchasima di Thailand.
Biarpun dilanda spekulasi mengenai masa depannya di Thailand, Shahrel mahu buktikan keupayaannya kepada Nakhon Ratchasima dan semua kelab di Thailand bahawa dia mampu beraksi di Liga Thailand.
“Masih ada 10 perlawanan liga untuk diharungi, saya tidak akan lari atau balik awal sebaliknya mahu terus bermain di sana sehingga kontrak saya bersama Nakhon berakhir pada hujung musim.
“Saya juga akan menggunakan baki perlawanan itu untuk cuba memikat Nakhon dan kelab lain di Thailand dengan harapan dapat meneruskan karier di sana musim depan,” kata Shahrel seperti dilaporkan Berita Harian.
Shahrel sebelum ini dikhabarkan mahu pulang ke Malaysia selepas membuat luahan hati di laman Twitter peribadinya. Namun, bekas penyerang PKNP itu pantas membidas dengan mengatakan itu sekadar luahan hatinya yang merasa kesunyian di negara orang.
Selepas membuat luahan itu, ramai yang terus memberikan sokongan kepadanya termasuklah bekas jurulatihnya dan Titus James.
Shahrel pastinya mahu terus kekal di Thailand dan tidak pernah terfikir untuk pulang kembali ke Malaysia buat masa ini. Dia sudah menjaringkan satu gol untuk Nakhon Ratchasima dan berazam untuk menambah lagi jaringan. Kejayaan Shahrel di Thailand pastinya akan membuka lebih banyak peluang untuk pemain Malaysia beraksi di Thailand.