Santai Malaysia

Merdeka, Bola dan Malaysia

Selamat Hari Malaysia!

Esok adalah hari yang cukup bermakna buat rakyat Malaysia. Bila kita bercakap mengenai Hari Malaysia, perkara yang paling mudah untuk dikaitkan adalah semangat cintakan negara atau patriotism.

Dan bila kita bercakap mengenai semangat patriotik, sudah tentu paling dekat dan mudah adalah sukan terutamanya bolasepak. Selain nasi lemak, roti canai dan teh tarik, satu lagi perkara yang sering menyatukan kita adalah bolasepak.

Rakyat Malaysia dan bolasepak tidak dapat dipisahkan. Sama ada yang datang ke stadium atau sekadar lepak di mamak, topik utama kita adalah bolasepak. Setiap kali pasukan negara beraksi, pastinya ramai akan bersemangat untuk menyokong skuad negara terutamanya jika kita beraksi di laman sendiri.

Bolasepak itu unik. Bolasepak mampu membuatkan kita menolak tepi elemen bangsa, agama atau kepartian untuk bersatu hati menyokong Harimau Malaya.

Teringat bagaimana rakyat Malaysia memenuhkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun 2011 ketika aksi kelayakan Piala Dunia Malaysia menentang Singapura. Biarpun kita tidak berjaya layak ke pusingan seterusnya, tetapi semangat rakyat Malaysia ketika itu benar-benar mampu membuatkan mana-mana pemain mendapat 200% motivasi.

Atau ketika perlawanan separuh akhir Sukan SEA di antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Shah Alam tahun lalu. Memang meremangkan bulu roma melihat dan mendengar sorakan rakyat Malaysia sepanjang perlawanan itu.

Semangat seperti ini sebenarnya jika kita mampu kembangkan di luar perlawanan bola sahaja, pastinya kita mampu membuatkan Malaysia lebih berjaya.

Akan tetapi, ini bukan penamatnya. Masih ada ruang untuk penambahbaikan. Kita perlu cuba konsisten dalam menyokong skuad kebangsaan kita. Kurangkan kritikan dan alasan yang tidak membantu. Semoga kita tidak perlu menunggu sehingga 100 tahun untuk melihat bolasepak Malaysia beraksi di pentas tertinggi dunia.