Malaysia Berita

Stadium untuk perlawanan akhir Piala AFC B19 terpaksa ditukar kerana Guns N’ Roses?

Bayangkan final Piala Dunia atau Piala Asia terpaksa ditunda atau ditukar lokasi kerana ada konsert akan berjalan di stadium di mana perlawanan akan diadakan.

Itulah yang berlaku untuk Kejohanan Piala AFC Bawah 19 tahun yang akan berlangsung di Indonesia. Tiga stadium akan menjadi gelanggang bagi kejohanan ini iaitu Stadium Pakansari (Bogor), Stadium Patriot (Bekasi) dan juga Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta.

Namun, perkhabaran terbaru, ada kemungkinan perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir Piala AFC bawah 19 tahun tidak akan dapat diadakan di Stadium Gelora Bung Karno.

Kenapa tidak boleh? Kerana ada konsert.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Indonesia (PSSI), Ratu Tisha Destria menyatakan PSSI akan mencari stadium alternatif untuk perlawanan separuh akhir dan akhir.

“Stadium yang kita gunakan adalah GBK, Pakansari dan Patriot. Ada kemungkinan separuh akhir dan perlawanan akhir tidak dimainkan di GBK kerana khabarnya ada konsert Guns N’ Roses di sana.

“PSSI profesional, kami akan cari stadium lain yang ada. Kami ikut saja. Kalau katanya ada konsert, maka kami cari saja stadium lain,” kata Ratu Tisha seperti dilaporkan Indosport.com.

Skuad bawa 19 tahun Malaysia berada dalam Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China bagi kejohanan ini. Piala AFC Bawah 19 tahun akan berlangsung pada 18 Oktober hingga 4 November 2018.