Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan mengesahkan Perak bakal mengisi slot ‘play-off’ pusingan kelayakan ke-2 Liga Juara-Juara AFC (ACL) untuk musim depan.
Ini kerana juara Piala FA, Pahang sehingga kini gagal mengemukakan rayuan selepas permohonan lesen kelab mereka digantung selama dua tahun oleh FAM.
Perak yang muncul sebagai naib juara Liga Super Malaysia 2018, bakal mengiringi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk bermain di kejohanan elit benua asia pada musim hadapan. Walaubagaimanapun, JDT mendapat slot automatik atas kejayaan mereka muncul juara liga bagi musim ini.
“Mereka (Perak) sudah ‘sebelah kaki’ layak secara merit untuk menggantikan Pahang,” katanya di Wisma FAM.
“Tapi saya rasa Perak dalam landasan untuk mendapat lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan rasanya mereka tiada masalah untuk menerimanya.”
“Malah, Perak memang berusaha untuk mendapatkan lesen terbabit dan mereka kerap menghubungi bahagian pelesenan kelab di bawah FAM dan AFC bagi mendapatkan panduan untuk mempersiapkan segala dokumen dan kemudahan asas yang diperlukan,” katanya.
Terdahulu, slot kelayakan ini sepatutnya diberikan kepada Pahang yang menjuarai Piala FA 2018 setelah menewaskan Selangor 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tetapi Pahang digantung oleh FAM kerana menolak untuk mewakili Malaysia dalam saingan Piala AFC 2019 musim ini kerana Kedah gagal mendapatkan lesen AFC.
Pahang bagaimanapun menolak untuk bertanding dalam kejohanan tersebut kerana tawaran berkenaan diterima agak lewat selain daripada ingin memfokuskan kepada saingan domestik.
Stuart Ramalingam turut mengulas lanjut jika Pahang mengemukakan rayuan kepada FAM berkenaan penggantungan permohonan lesen kelab AFC pada masa ini.
“Namun, sekiranya Pahang menghantar rayuan, permohonan mereka itu tetap akan dibincangkan oleh Jawatankuasa Rayuan di peringkat FAM. Seandainya lepas, ia akan melalui proses di peringkat AFC pula dan saya rasa agak sukar kerana sudah kesuntukan masa,” katanya.