Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) meminta kesemua pemainnya bersabar meskipun masih belum mendapat sebarang bayaran gaji bagi musim ini.
Pemangku Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan berkata, pihaknya memandang serius isu tunggakan gaji melibatkan 29 pemainnya dan akan berusaha menyelesaikan masalah tersebut selepas Kongres Luar Biasa PFA yang akan diadakan pada 29 September ini.
Katanya, pihaknya juga telah menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya diberi ruang kepada mereka untuk menyelesaikan terlebih dahulu masalah pucuk kepemimpinan PFA.
“Apabila selesai PFA mengumumkan barisan kepemimpinan baharu persatuan bola sepak negeri nanti, kita akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji ini.
“Insya-Allah masalah ini akan selesai dan kita berharap pemain juga dapat bersabar kerana PFA selama ini tidak pernah berhenti berusaha untuk memberi yang terbaik kepada mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seramai 29 pemain Perlis telah membuat aduan kepada FAM selepas pihak pengurusan gagal melunaskan tunggakan gaji yang berjumlah RM461,500.
Kesemua aduan tersebut telah diterima oleh FAM sepenuhnya dan PFA dikehendaki melunaskan tunggakan gaji tersebut dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan dibuat iaitu pada 29 0gos lalu.
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kes tersebut dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.
Isu tunggakan gaji pemain Perlis sudah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu, beberapa pemain tidak dibayar gaji sejak Mac yang lalu dan PFA pula berdepan dengan krisis kewangan sejak awal musim.
Abdul Karim turut berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut.
“Sekurang-kurangnya isu ini boleh membuka mata kepada kerajaan negeri untuk turut sama membantu,” katanya.