Akibat tindakan ganas pemain import Kedah, Paulo Rangel terhadap penjaga gol pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Farizal Marlias pada aksi Liga Super antara Kedah dan JDT di Stadium Darul Aman, 13 Julai lalu, beliau digantung tiga perlawanan termasuk satu penggantungan automatik berkuatkuasa serta merta oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, Rangel didapati melanggar artikel 50.1(d) bersama dengan artikel 18.4 kod tatatertib FAM, di mana beliau turut didenda RM3,000.
“Selain digantung dan didenda, beliau juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.
Ini bermakna Rangel tidak dapat beraksi dalam baki perlawanan peringkat kumpulan C Piala Malaysia menentang JDT hari ini dan Kelantan pada 16 September nanti.
Kedah masih mempunyai peluang untuk mara ke suku akhir selepas mengumpul sebanyak lima mata, hanya satu mata di belakang JDT dan dua mata ketinggalan dengan MISC-MIFA yang berada di kedudukan teratas ketika ini.
Sementara itu, dalam mesyuarat sama menyaksikan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) didenda sebanyak RM5,000 ekoran tindakan penyokong tuan rumah yang menyalakan bom asap dan melepaskan mercun roket ke udara semasa perlawanan antara Melaka dan Kuala Lumpur 9 Jun lalu.
“MUSA bersalah kerana melanggar artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM dan didenda sebanyak RM5,000 dan dikehendaki untuk menjelaskan jumlah denda yang dikenakan dalam masa empat belas (14) hari waktu bekerja dari tarikh penerimaan keputusan ini.
“Mereka juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” katanya.