Malaysia Berita

Tak sampai 3,000 turun ke stadium? Itu salah pengurusan, bukannya penyokong

Pengurusan persatuan negeri dan kelab perlu menyalahkan diri sendiri apabila peminat bola sepak tempatan semakin berat hati untuk menonton perlawanan di stadium.

Bekas pemain kebangsaan, Shebby Singh menegaskan, masalah dalaman yang melanda beberapa pasukan terutamanya melibatkan isu tunggakan gaji pemain menjadi antara punca peminat sudah bosan untuk mengikuti perkembangan Liga Malaysia.

Justeru, katanya, pasukan perlu memperbaiki segala masalah pentadbiran terlebih dulu sebelum meletakkan kesalahan kepada penyokong.

“Pasukan mempunyai banyak masalah seperti gaji tak bayar dan pendaftaran tak betul. Jadi pasukan kena tingkatkan tahap profesionalisme mereka dengan memastikan segala urusan pentadbiran berjalan lancar.

“Sebelum ini, beberapa pasukan berdepan masalah gaji hingga mencecah jutaan ringgit, hutang sana sini. Perkara ini semua memainkan peranan untuk menarik minat penonton.

“Kalau nak salahkan penonton yang hanya tunggu pasukan beraksi dengan bagus baru nak ke stadium, itu memang betul. Cuma masalah sekarang banyak pasukan kurang profesional.

“Jadi, jangan salahkan penonton, betulkan rumah kita sendiri dulu. Kalau bumbung bocor tukar yang baru kerana kalau pasukan diuruskan dengan baik, tiada masalah penonton nak ke stadium,” katanya kepada kepada Berita Harian.

Terdahulu, dilaporkan enam daripada lapan gelanggang bagi aksi pembukaan Piala Malaysia hujung minggu lalu mencatatkan kehadiran yang kritikal iaitu bawah 3,000 penonton sahaja.

Mengulas lanjut, Shebby tidak bersetuju sekiranya jumlah kehadiran penyokong liga tempatan ke stadium dijadikan perbandingan dengan liga luar terutamanya Liga Perdana Inggeris yang mana stadium mereka sentiasa dipenuhi penonton walaupun membabitkan aksi pasukan bawahan.

“Jangan bandingkan dengan liga luar seperti EPL, budaya dan semangat patriotisme penyokong mereka lain. Malah, ada ke kita dengar kelab di sana berdepan masalah gaji tak bayar seperti yang berlaku di Malaysia?

“Ada juga pasukan yang suka membandingkan dengan bola sepak luar negara, tolong jangan bandingkan kerana kita belum sampai tahap mereka,” katanya.