Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sudah membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi membolehkan Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas sah menjadi rakyat Malaysia.
Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, rayuan itu dibuat setelah Sumareh dibenarkan untuk beraksi sebagai pemain kebangsaan oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin serta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Sebagai rakyat Malaysia, sumbangan Sumareh sebagai pemain tempatan tidak boleh dinafikan terutamanya apabila beliau bermain dengan Pahang mahupun skuad Harimau Malaysia.
“Tetapi, kita akui dengan kriteria dan peraturan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status pemain yang berasal dari luar negara bagi membolehkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan.
“Sebab itu kita membuat rayuan apabila Sumareh mendapat taraf kerakyatan Malaysia,” katanya kepada Berita Harian.
Semalam, Kevin Ramalingam memaklumkan bahawa Sumareh perlu menunggu sehingga 2023 untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan bagi saingan Liga Malaysia.
Biarpun sudah mendapat kerakyatan Malaysia dan layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya namun Sumareh masih belum menepati kriteria dan peraturan yang ditetapkan oleh MFL.
Katanya, pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan.
Pemain berusia 23 tahun itu memiliki rekod cemerlang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sejak membuat penampilan pertama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2013.