Ini pandangan dua bekas jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dan B. Sathianathan yang membawa cabaran pasukan kebangsaan tanpa mempunyai sebarang pemain berdarah campuran mahupun pemain naturalisasi.
K. Rajagobal
Bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengkaji sedalam-dalamnya sebelum melaksanakan polisi membenarkan pemain naturalisasi untuk pasukan kebangsaan.
Ini kerana baginya, apa sahaja keputusan yang dibuat perlu mengambil kira kesan terhadap pemain tempatan.
“Selalu akan ada perbahasan mengenai pemain naturalisasi tapi akhirnya ia perlu betul-betul teliti sama ada ia akan diteruskan pada masa depan, beri kebaikan untuk masa depan dan adakah ia akan melemahkan semangat pemain tempatan.
“Mereka kena teliti banyak aspek sebelum buat keputusan,” katanya.
Meskipun Rajagobal berjaya membawa skuad kebangsaan menjulang Piala AFF 2010 tanpa kehadiran sebarang pemain kacukan mahupun naturalisasi, beliau menganggap situasi pembangunan bola sepak negara sudah banyak berubah.
“Itu masa yang berbeza, pemain yang saya ada pada masa itu mungkin orang tak sedar adalah pemain yang sudah bersama dengan saya sejak umur 17, 18 tahun.
“Masa itu visi saya untuk bersama dengan pemain ini selepas lima dan enam tahun di mana pemain ini sudah matang dan percaya kepada jurulatih. Pada masa itu tak banyak bincang pasal naturalisasi, cuma sekarang kita bercakap mengenai naturalisasi. Pada masa itu saya percaya kepada pemain, dan mereka bermain dengan baik,” katanya.
B. Sathianathan
Sathianathan pula menyifatkan pengambilan pemain naturalisasi adalah langkah jangka pendek yang perlu dilakukan sementara menunggu projek akar umbi terutamanya Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang memerlukan beberapa tahun lagi untuk melahirkan pemain berkaliber.
“Kalau kita nak tunggu pemain projek NFDP menjelmakan keputusan buat skuad kebangsaan dalam masa terdekat ini, memang tidak boleh. Cara terbaik adalah mengambil pemain naturalisasi yang muda berumur antara 18 atau 19 tahun.
“Pemain berdarah campuran kita juga tidak ramai dan yang ada pun bukan yang berkaliber tinggi. Jadi saya setuju ambil pemain naturalisasi buat sementara waktu seperti yang dilakukan Jepun sebelum ini.
“Ketika kali pertama Jepun layak ke Piala Dunia, mereka ada dua atau tiga pemain naturalisasi dari Brazil. Macam Perancis, jangan ingat mereka tiada pemain naturalisasi. Jadi kita mesti lebih bersikap terbuka.
“Pada masa yang sama, kita perlu kenal pasti apa masalah pemain tempatan dan perbaiki masalah itu dengan mendidik pemain muda, kerana mereka ini yang akan menggantikan tempat pemain naturalisasi nanti.
“Kalau nak kekalkan minat rakyat terhadap bola sepak, kita kena capai sesuatu kejayaan. Tapi, jika kita tiada pemain berkualiti dan asyik kalah, kita akan hilang ramai peminat.
“Minat rakyat Jepun dulu sebenarnya lebih kepada sukan baseball, tapi selepas mereka layak ke Piala Dunia, bola sepak menjadi sukan nombor satu di negara itu dan diikuti ramai peminat selain banyak penaja yang menghulurkan tajaan,” katanya.