Jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee membuat keputusan untuk memanggil empat lagi pemain baharu bagi menyertai latihan pusat bagi mengharungi kempen Sukan Asia 2018 bulan depan.
Mereka adalah Adib Zainudin dari Johor Darul Ta’zim II, Akhyar Rashid dari Kedah, R. Kogileswaran dari Pahang dan Syahmi Safari dari Selangor yang sebelum ini sekadar berada dalam senarai simpanan.
Keputusan tersebut boleh difahami memandangkan empat pemain ini merupakan antara tonggak skuad B-23 yang mencatatkan sejarah mara ke suku akhir di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China awal tahun ini.
Keputusan terbaru ini menyaksikan Kim Swee bakal menghimpunkan 28 pemain bagi kem latihan pusat pada 30 Julai ini dengan syarat semua pemain mendapat pelepasan pasukan masing-masing.
Daripada 28 pemain yang disenaraikan, tiga pemain lebih umur Aidil Zafuan dari JDT, serta Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali dari Kedah kekal berada dalam skuad utama.
Namun Malaysia berdepan tugas sukar pada kempen Sukan Asia kali ini apabila diundi menentang juara bertahan Korea Selatan, ditambah dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kyrgyzstan dan Bahrain dalam Kumpulan E.
Musim ini, meskipun baru berusia 19 tahun, Akhyar telah pun menjadi pemain utama dalam pasukan Kedah, malah dilihat sebagai simbol baharu bagi pasukan kebangsaan pada masa akan datang, mengikut jejak langkah Syafiq Ahmad di usia muda.
Kerjaya R. Kogileswaran pula cukup luar biasa, selepas menjaringkan gol tunggal menentang Australia pada Kejohanan AFC B-16 2o14 yang hampir melayakkan Malaysia ke Piala Dunia B-17 , beliau menjadi pemain utama untuk Malaysia B-17, Malaysia B-19 dan kini Malaysia B-23.
Adib Zainuddin dan Syahmi Safari pula merupakan rakan sepasukan dalam Harimau Muda C dan kedua-duanya menyinar di usia muda dalam pasukan liga masing-masing sehingga berjaya mewakili negara.