Selepas menjulang trofi Liga Perdana bersama Felda United musim ini, Daniel Amier Norhisham sedang mencari peluang untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi di luar negara.
Malah bekas pemain Frenz United itu berkata, sudah tiba masanya untuk pergi lebih jauh dalam kariernya.
“Penutup yang baik musim ini apabila pasukan Felda United bergelar juara. Lebih bangga lagi pada usia muda ini saya sudah mempunyai koleksi trofi juara.
“Saya anggap ini adalah kejayaan untuk dua tahun berturut-turut buat diri sendiri sejak Kejohanan AFC B-23 dan Sukan SEA,” katanya kepada mStar Online.
Selepas setahun tidak bermain pada tahun 2016, Daniel kemudiannya menyertai Felda United B-21 sebelum diserap ke pasukan utama oleh jurulatihnya, B. Sathianathan.
Anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 21 tahun itu kini sedang menunggu jawapan beberapa kelab luar untuk mencuba nasib di sana.
“Kalau boleh saya ingin cuba di negara-negara seperti Thailand, Korea Selatan mahupun Jepun namun itu semua masih lagi dalam perbincangan.
“Buat masa sekarang ini saya ingin fokus kepada skuad kebangsaan yang bakal beraksi dalam Sukan Asia bulan depan.
“Dalam dua tiga hari ini saya juga dalam proses pemulihan kecederaan pangkal paha yang dialami semasa beraksi untuk Felda beberapa hari lalu,” katanya.
Daniel merupakan antara 30 pemain yang dipanggil mengikuti latihan skuad kebangsaan B-23 yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee bermula 30 Julai ini.