Kylian Mbappe menganggap kejayaan Perancis merangkul gelaran Piala Dunia adalah permulaan bagi dirinya serta pemain sezaman dengannya untuk terus mendominasi pentas bola sepak dunia pada masa akan datang.
Dengan jaringan empat gol sepanjang Piala Dunia berlangsung termasuk satu gol yang disumbangkan dalam perlawanan akhir sekali gus menewaskan Croatia dengan keputusan 4-2 di Stadium Luzhniki, Mbappe dijulang sebagai pemain muda terbaik Piala Dunia edisi 2018.
“Saya mahu mencipta sejarah, ini hanya permulaan. Saya mahu pergi lebih jauh.,” kata Mbappe.
Penyerang Paris Saint-Germain itu sering dibandingkan dengan legenda Brazil, Pele selepas beliau menjadi pemain termuda seperti Pele yang berjaya menjaringkan lebih dari satu gol terutamanya ketika menjaringkan dua gol menentang Argentina pada perlawanan 16 pasukan terakhir.
“Jika Kylian Mbappe terus menyamai rekod saya, saya mungkin perlu memakai but untuk beraksi semula,” kata Pele menerusi akaun Twitter miliknya.
Ketika pemain berusia 19 tahun itu menjadi pemain tumpuan, Perancis sebenarnya mempunyai ramai lagi pemain muda berbakat yang bakal mendominasi bola sepak antarabangsa untuk beberapa tahun akan datang.
Purata usia empat pemain pertahanan Perancis yang dibarisi Benjamin Pavard, Raphael Varane, Samuel Umtiti dan Lucas Hernandez cuma 23 tahun.
Penjaring gol final malam tadi, Antoine Griezmann yang kini berusia 27 tahun dan Paul Pogba yang berusia 25 tahun boleh dikatakan sedang berada dalam kemuncak prestasi.
“Kylian Mbappe baru berusia 19 tahun. Saya harap beliau akan memenangi kejuaraan lagi dan kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” kata Deschamps. – AFP