Diego Laxalt yakin Uruguay tidak akan sekali-kali membenarkan penyerang Perancis, Kylian Mbappe melakukan sebarang pergerakan berbahaya dalam aksi suku akhir Piala Dunia, esok.
Mbappe menjaringkan dua gol ketika menewaskan Argentina 4-3 dalam pusingan 16 terakhir yang membantu skuad Didier Deschamps mara ke suku akhir.
Malah finalis Euro 2016 itu masih belum mencatatkan sebarang kekalahan dalam sembilan perlawanan Piala Dunia berdepan lawan dari Amerika Selatan.
Pertahanan Perancis juga cukup kental apabila gawang gol tidak dibolosi dalam tujuh perlawanan sebelum bertemu Argentina.
Penyerang berbisa Uruguay, Edinson Cavani juga berkemungkinan terlepas aksi suku akhir kerana mengalami kecederaan betis ketika menang 2-1 ke atas Portugal menambahkan lagi kelebihan kepada Perancis untuk mara ke separuh akhir.
Bagaimanapun, Uruguay telah memenangi tujuh perlawanan berturut-turut dan hanya bolos sekali, disebabkan itu Laxalt yakin mereka mampu menggunakan pendekatan bertahan ketika berdepan Perancis.
“Kami akan cuba menampilkan permainan terbaik ketika bertahan dan berharap jentera serangan mencipta jaringan.
“Uruguay akan mengulangi persembahan yang sama ketika berdepan Portugal. Kami akan berusaha menutup ruang yang membolehkan Mbappe melakukan pecutan,” katanya.
Bagi Blaise Matuidi pula, beliau berharap Cavani tidak akan turun beraksi kerana beliau boleh memberi ancaman kepada Perancis.
“Saya sudah lama mengenali Cavani. Dia seorang pemain yang berbisa dan seorang yang tidak mudah berputus asa. Saya pasti dia akan mengerah segala kudratnya untuk membantu Uruguay mencipta kemenangan,” katanya.