Luar Negara Malaysia

Berdepan Fiji, Malaysia tiada penyerang berbisa kata Tan Cheng Hoe

Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe mengakui bahawa pasukannya tidak mempunyai barisan penyerang berbisa yang boleh diketengahkan pada perlawanan persahabatan menentang Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Malah, Fiji bukanlah lawan yang mudah apabila pasukan dari Konfederasi Bola Sepak Oceania (OFC) itu kini menduduki ranking ke-165 dunia ketika ini, 10 anak tangga di hadapan Malaysia yang berada di kedudukan ke-175.

“Aksi menentang Fiji ini bukan mudah dan mereka bukan satu pasukan yang lemah. Permainan mereka teratur selain memiliki kekuatan dari aspek fizikal.

“Kami perlu memperkuatkan semua posisi terutamanya bahagian serangan yang mana pemain kita dilihat kurang menyerlah dalam saingan Liga Malaysia dan kita perlu segera atasi kelemahan ini.

“Bahagian serangan kami mempunyai masalah kerana ramai pemain tempatan tiada peluang dalam Liga Malaysia tetapi saya tidak boleh cari alasan.

“Saya perlu cari jalan supaya saya boleh mengatasi masalah di bahagian serangan.

“Setakat ini, saya nampak mereka mempunyai keyakinan untuk beraksi dalam perlawanan ini nanti,” katanya di Wisma FAM.

Bekas jurulatih Kedah itu bagaimanapun tidak mahu menjanjikan kemenangan besar bakal berlaku seperti perlawanan sebelum ini yang menyaksikan skuad Harimau Malaya membenam Bhutan 7-0.

Sebaliknya, beliau hanya mengharapkan aksi berkualiti dan menterjemahkan segala perancangan yang diatur dengan baik di atas padang.

Sementara itu, jurulatih Fiji, Christophe Gamel menganggap Malaysia akan berdepan dengan pasukan yang rata-rata berstatus pemain amatur sahaja dan mereka ingin menikmati perlawanan sepenuhnya tanpa meletakkan sebarang tekanan untuk menang dalam aksi malam ini.

“Pemain amatur saya akan bermain menentang pemain profesional Malaysia.

“Kami perlu meningkatkan prestasi kami, ini adalah perkara penting. Lagipun, kami pernah melihat aksi mereka sebelum ini,” katanya.

Fiji memiliki sedikit kelebihan dari segi rekod pertemuan dengan Malaysia dengan memenangi dua daripada empat pertemuan sebelum ini berbanding skuad kebangsaan yang hanya pernah menewaskan Fiji pada Februari 2001 iaitu 17 tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia bertemu Fiji adalah pada siri Jelajah Oceania 2016 yang menyaksikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu hanya mencatatkan keputusan seri 1-1. – Bernama