Jepun menamatkan perjuangan mereka di Piala Dunia 2018 dengan hebat. Walaupun ditundukkan Belgium, Jepun mempamerkan semangat tinggi sehingga ke wisel terakhir. Bukan hanya Benua Asia tetapi seluruh dunia turut kagum sehingga memberikan tanda hormat setelah melihat apa yang dipamerkan Jepun. Kisah itu diakhiri dengan keputusan kapten, Makoto Hasebe, bersara daripada pasukan kebangsaan.
Selain Hasebe, “Sang Kaisar” Keisuke Honda juga membuat keputusan untuk menamatkan baktinya bersama skuad kebangsaan jepun. Ia menjadi satu perpisahan yang besar, apatah lagi Hasebe telah bersama The Blue Samurai sejak satu dekad lalu dan memegang lilitan ketua pasukan Jepun sejak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.
Seharusnya ia perlu diakui banyak terpengaruh daripada komik Captain Tsubasa nukilan Yoichi Takahashi, bukan setakat pemain bola sepak tetapi hampir semua pihak berharap agar pemimpin Jepun memiliki perwatakan seperti Tsubasa. Pemain dengan bakat fantastik yang diharapkan mampu mencipta keajaiban di atas padang.
Bagaimanapun, selama lapan tahun yang terakhir, Jepun telah memiliki kapten yang sangat sesuai dengan perwatakan yang dikenali terhadap negara mereka. Bijak, disiplin dan bekerja keras. Tiga elemen itu sangat sinonim dengan diri pemuda bernama Makoto Hasebe.
Nama pertamanya bererti kebenaran, atau dalam maksud lain adalah kebijaksaan. Dua perkara tersebut benar-benar mencerminkan Hasebe di sepanjang karier mewakili Jepun di pentas antarabangsa. Dia merupakan seorang pemimpin hebat yang disegani rakan-rakannya. Sesuatu yang sudah lama dilihat walaupun sejak di bangku sekolah.
Hasebe bersekolah di Fujieda Higashi Gakuen (Fujieda Higashi High School), sekolah yang juga diadaptasi di komik Shoot! menjadi Fujita Higashi. Di sekolah ini ,cukup ramai individu yang mengingati sikap Hasebe. Salah satunya adalah guru sekolahnya, Yasua Hattori.
Gurunya itu mengingati bahawa Hasebe bukanlah seorang pemain yang penuh skil dan teknik. Bahkan, ketika Urawa Reds berhajat menawarkan kontrak profesional kepadanya, guru itu meminta kelab tersebut agar mempertimbangkan keputusan mereka. Ia disebabkan pada waktu itu, Hasebe tidak mempunyai kebolehahan untuk bergelar pemain profesional. Bagaimanapun, guru itu juga mengakui bahawa Hasebe adalah pemain pemain yang diharapkan dan jarang melakukan kesilapan.
“Ketika masih kecil, Hasebe bukan seorang pemain bola sepak yang hebat. Dia tidak melakukan skil atau tipu helah seperti anak-anak lain tetapi dia merupakan pemain yang boleh diharapkan, sukar melakukan kesalahan. Dia mempunyai aura kepimpinan dan pemain lain juga mengikuti caranya.”
Maksud daripada sifat Hasebe boleh disifatkan sebagai kapten terbaik yang pernah dimiliki Jepun. Dia tenang, boleh diharapkan dan jarang melakukan kesilapan. Berbekalkan kematangan itu, Hasebe memimpin rakan sepasukannya dalam tiga Piala Dunia dan dua Piala Asia, dimana prestasi yang dipamerkan membolehkan The Blue Samurai menjuarai Piala Asia 2011.
Ketika mengumumkan persaraan, Hasebe memilih cara yang tidak terlalu menonjol, sesuai dengan perwatakannya yang tenang. Dalam ucapan perpisahannya, Hasebe menekankan dirinya berbangga memperagakan hinomaru (bendera Jepun) di dada serta kata serve (bakti) sewaktu beraksi. Petanda bahawa Hasebe bertanding di peringkat antarabangsa bersama Jepun adalah bakti kepada negaranya. Hasebe sememangnya sungguh luar biasa.
“Menjadi satu penghormatan besar untuk mengenakan (Hinomaru) di dada saya. Sebuah pengalaman yang luar biasa dan tidak dapat tergantikan. Saya boleh berbakti sebagai kapten pasukan disebabkan sokongan daripada semua pihak,” ujar Hasebe dalam salam perpisahannya.
Jepun ternyata merasai kehilangan besar. Hasebe adalah pemimpin besar yang ukar digantikan. Mungkin generasi pemain Jepun yang baru jauh lebih hebat secara permainan di atas padang berbanding Hasebe tetapi seperti apa yang disebutkan tentang Hasebe oleh guru sekolahnya, tidak ada pemain lain yang mampu diharapkan dan jarang melakukan kesalahan seperti Hasebe.
Selamat tinggal, kapten Hasebe!