Jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez, menganggap tiada seorang pun pemainnya yang mampu menghalang Cristiano Ronaldo menjadikan tugasnya untuk menewaskan Portugal malam ini jauh lebih sukar.
Apatah lagi apabila Ronaldo sudah menjaringkan empat gol dan membantu juara Euro 2016 itu layak ke pusingan kalah mati.
“Saya percaya Ronaldo adalah salah seorang penyerang terbaik dunia,” kata Tabarez.
“Bukan sahaja cemerlang dengan kualiti yang dimiliki, beliau juga seorang pemimpin pasukan. Tiada pemain yang mampu mengekangnya. Kami perlu bekerja sebagai satu pasukan untuk mengatasi Ronaldo bagi mengurangkan impaknya dalam perlawanan ini.
“Ia akan menjadi perlawanan yang hebat. Kami perlu membuktikan sesuatu untuk layak ke pusingan seterusnya.
“Sembilan daripada pemain Portugal sendiri adalah pemenang Euro 2016. Mereka adalah pasukan yang berkualiti. Kami telah membuat persiapan selama 12 tahun untuk berada pada tahap ini. Kami semakin hampir mencapai sasaran utama dalam saingan Piala Dunia,” katanya.
Uruguay layak ke pusingan kalah mati tanpa dibolosi dengan sebarang jaringan.
Dalam pada itu, penyerang Uruguay, Luis Suarez yang mengetuai jentera serangan juga bimbang dengan kualiti yang ada pada Portugal.
“Ketika ini kami bermain jauh lebih baik berbanding dalam perlawanan pertama.
“Kami berusaha untuk mencapai tahap yang terbaik dalam perlawanan tersebut.
“Tetapi tugas berat menanti kami. Mereka adalah juara Euro 2016. Sebab itu saya telah membuat persiapan yang rapi untuk perlawanan ini,” katanya.