Jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong mengakui pasukannya kalah hanya disebabkan penalti setelah tewas 2-1 kepada Mexico awal pagi tadi yang menyebabkan pasukannya bakal tersingkir secara rasminya selepas dua perlawanan.
Meskipun para pemain telah diberikan sedikit motivasi apabila Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in turut hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut serta menyampaikan kata-kata semangat kepada mereka, namun keputusan tetap tidak menyebelahi mereka.
Sudahlah pasukan gergasi Asia itu tewas 1-0 kepada Sweden dalam perlawanan pembukaan disebabkan penalti, malah perlawanan awal pagi tadi juga menyaksikan pemain pertahanan, Jang Hyun-soo menghalang hantaran lintang Andres Guardado dengan tangan menyebabkan Mexico memperoleh gol kemenangan menerusi penalti dari Carlos Vela.
“Adalah malang pertahanan longgar dan sukar untuk kami perbetulkannya,” kata Tae-yong.
“Barisan pertahanan kami memang longgar dan bagi kesalahan Jang, beliau sememangnya memegang bola jadi tiada apa yang kami boleh ubah.
“Kami memberikan dua penalti, ia satu masalah tetapi pertahanan hilang keyakinan dan ia amat malang.
“Saya harap mereka akan mengembalikan keyakinan dan bertarung untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Korea Selatan masih ada peluang untuk layak ke kelompok 16 terakhir berdasarkan perbezaan gol jika mereka menewaskan Jerman dan Mexico menewaskan Sweden pada perlawanan terakhir Kumpulan F.
Korea Selatan yang menang hanya satu daripada 11 perlawanan Piala Dunia terakhir, kali terakhir layak ke pusingan kalah mati adalah pada edisi 2010 di Afrika Selatan. – Reuters