Piala Dunia 2018 Santai

Kylian Mbappe: 10 perkara tentang bintang muda Perancis yang mencipta sejarah di Rusia

Kylian Mbappe mencatat sejarah sebagai penjaring gol termuda untuk Perancis dalam kejohanan Piala Dunia. Gol tersebut hadir pada perlawanan menentang Peru dalam aksi kedua Kumpulan C di Ekaterinburg Arena, Rusia.

Berusia 19 tahun, Kylian Mbappe merupakan pemain termuda skuad Les Bleus untuk kempem Piala Dunia 2018. Bermain di posisi penyerang dan juga pemain sayap, remaja ini pernah menjadi bualan hangat seantero dunia ekoran dirisik oleh beberapa kelab gergasi bola sepak.

Baru sahaja mengharungi musim gemilang bersama Paris Saint-Germain (PSG) dengan menjuarai Ligue 1, Coupe de France dan Coupe de la Ligue. Selain itu, beliau bersama-sama PSG berjaya mengharungi Liga Juara-Juara UEFA (UEFA Champions League) sehingga kelompok 16 terakhir.

Diberikan jersi bernombor 10 untuk mewakili Perancis di Piala Dunia 2018, berikut adalah 10 perkara yang anda perlu tahu mengenai Kylian Mbappe:

Profil peribadi

Nama: Kylian Sanmi Mbappe Lottin

Warganegara: Perancis dan Cameroon

Umur: 19 Tahun

Tarikh Lahir: 20 Disember 1998

Tempat Lahir: Paris, Perancis

Tinggi: 1.78m

Kelab: Paris Saint-Germain (dipinjamkan oleh AS Monaco - Ligue 1)

Keluarga berdarah sukan

Dilahirkan dalam keluarga yang menceburi bidang sukan. Ibunya merupakan bekas pemain bola baling. Manakala bapanya adalah jurulatih di kelab US Bondy di Perancis. Kylian Mbappe dilatih oleh bapanya sejak berumur 4 tahun sehingga 14 tahun di kelab tersebut. Kini, adiknya pula juga bermain bersama kelab tersebut. Selain itu, Kylian Mbappe mempunyai adik-beradik angkat yang bermain di kelab Bursaspor, Turki iaitu Jires Kembo-Ekoko.

Debut Les Bleus

Beliau melakukan debut untuk skuad senior kebangsaan Perancis pada 25 Mac 2017. Perlawanan tersebut adalah kelayakan Piala Dunia peringkat eropah ketika bertemu Luxemborg. Kylian Mbappe masuk sebagai pemain gantian menggantikan Dmitri Payet pada minit ke-78. Perlawanan tersebut berakhir dengan Perancis mencatatkan kemenangan 1-3. Umur beliau ketika itu adalah 18 tahun.

Gol pertama untuk Perancis

Kylian Mbappe merekodkan gol pertama untuk Perancis ketika perlawanan kelayakan Piala Dunia peringkat eropah bertemu Belanda pada 1 September 2017. Pada perlawanan tersebut, beliau masuk menggantkan Olivier Giroud pada minit ke-76 dan menjaringkan gol keempat untuk pasukan Les Bleus. Perlawanan yang berlangsung di Stade de France itu berkesudahan dengan Perancis menang 4-0 ke atas Belanda.

Juara Euro B19 (2016)

Kylian Mbappe adalah sebahagian daripada skuad Perancis B19 yang menjuarai kejohanan Euro B19 yang berlangsung di Jerman. Kejohanan ini mengumpulkan 8 pasukan bawah 19 tahun dari benua eropah. Perancis diletakkan dalam Kumpulan B bersama-sama England, Belanda dan Croatia. Perlawanan akhir menemukan Perancis dan Itali yang berkesudahan dengan jaringan 4-0. Sepanjang kejohanan ini Kylian Mbappe berjaya menjaringkan 5 gol.

Peminat

Ketika ini, akaun rasmi Instagram (@k.mbappe29) telah mencatatkan jumlah pengikut seramai 8.8 juta orang. Manakala akaun rasmi Twitter (@k.mbappe) merekodkan pengikut seramai 1.11 juta. Page rasmi Facebook (Kylian Mbappe) pula menghimpunkan lebih 500,000 Likers. Kami yakin peminat Kylian Mbappe akan bertambah dari semasa ke semasa dengan umurnya yang muda dan perjalanan kerjaya sebagai pemain bola sepak profesional yang masih jauh.

Hatrik Ligue 1

Aksi beliau diperingkat kelab tidak kurang hebatnya. Sehingga saat ini, Kylian Mbappe mencatatkan jaringan hatrik ketika bermain bersama AS Monaco. Perlawanan yang berlangsung di Stade Louis II bertemu FC Metz berkesudahan dengan jaringan 5-0. Tiga gol dijaringkan beliau adalah pada minit ke-8, ke-20 dan ke-50. Pemain yang menyumbangkan ‘assist’ kepadanya ialah Radamel Falcao, Fabinho dan Gabriel Boschilia.

Rekod bantuan gol (assist)

Selain menjaringkan gol, pemain penyerang dan sayap ini juga tidak kekok untuk memberikan bantuan gol kepada rakan sepasukan. Rekod ‘assist’ tertinggi dalam satu perlawanan yang dipegang Kylian Mbappe setakat ini adalah sebanyak dua ‘assist’. Namun begitu, beliau berjaya memberikan dua ‘assist’ tersebut dalam dua perlawanan. Pertama, ketika bermain di AS Monaco menentang HSC Montpellier dan kali kedua ketika bermain untuk Paris Saint-Germain menentang Stade Rennais FC.

Golden Boy Award 2017

Kylian Mbappe memenangi ‘Golden Boy Award’ yang dianjurkan oleh akhbar Itali, Tuttosport. Anugerah ini diberikan kepada pemain muda yang menunjukkan prestasi menakjubkan setiap tahun. Namun anugerah ini tertakhluk kepada pemain sekitar eropah berumur 21 tahun ke bawah sahaja. Calon-calon ‘Golden Boy Award’ diundi oleh wartawan sukan seluruh dunia dan mana-mana pemain yang mendapat undian tertinggi memenanginya. Antara nama besar yang pernah memenangi anugerah ini ialah Wayne Rooney (2004), Lionel Messi (2007) dan Paul Pogba (2013)

Juara Ligue 1

Belum lagi berusia 20 tahun, Kylian Mbappe telah menjuarai Ligue 1 sebanyak dua kali. Kali pertama, beliau dinobatkan juara liga pada musim 2016/17 ketika bermain bersama AS Monaco. Seterusnya, Kylian Mbappe menjuarai Ligue 1 bersama Paris Saint-Germain pada musim berikutnya, musim 2017/18. Menariknya, musim 2017/18 adalah musim dimana beliau dipinjamkan oleh AS Monaco ke Paris Saint-Germain. Walaubagaimanapun, Paris Saint-Germain diberitakan mempunyai pilihan untuk membeli pemain ini secara tetap bermula Julai 2018.